Harakahdaily
KUALA TERENGGANU: Pihak kerajaan menerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu meningkatkan lagi tahap keyakinan rakyat terhadap ketelusan dan kredibiliti sistem dan proses pilihan raya di negara ini terutama di dalam menangani isu pengundi hantu, penggunaan dakwat dan persempadanan kawasan.
Di samping itu, pihak kerajaan perlu mengkaji dan menimbang agar pendaftaran pemilih adalah secara automatik bagi mereka yang telah mencapai usia kelayakan sebagaimana yang diamalkan di negara-negara demokrasi Barat yang lain.
Menurut Yang Dipertua Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (Jim) Negeri Terengganu, Haji Zameran Jusoh, menerusi kaedah itu, kerajaan juga dapat mengurangkan kos pengurusan SPR dan perbelanjaan boleh dialihkan kepada menjamin proses pemilihan yang adil dan telus.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan SPR bahawa kira-kira 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berumur 21 tahun ke atas dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir tahun lalu, dengan 65 peratus daripada mereka adalah Bumiputera.
Jumlah itu adalah besar mengambil kira jumlah pengundi terkini seramai 11.08 juta berbanding dengan mereka yang berusia 21 tahun ke atas berjumlah 15.47 juta.
Beliau turut mencadangkan kerajaan mengkaji dan menimbang agar had usia kelayakan untuk menjadi pemilih diturunkan daripada umur 21 tahun ke 18 tahun.
“Dengan cara ini pendaftaran pemilih boleh dilakukan dengan lebih berkesan dan mampu mengurangkan jumlah mereka yang tidak mendaftar dengan sebahagian besar pemilih boleh didaftarkan selepas selesai sesi persekolahan tingkatan lima,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.
Jim negeri juga, tambahnya mengalu-alukan saranan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar agar pihak badan-badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan-pertubuhan belia serta mana-mana pihak agar bekerjasama dengan SPR untuk mengadakan kaunter khas di setiap penganjuran majlis yang melibatkan penyertaan yang ramai.
Sehubungan ini, pihaknya menggesa agar SPR dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi terus berusaha meningkatkan lagi kesedaran pemilih bermula di peringkat persekolahan menengah dan awal universiti lagi.
“Di samping itu, SPR juga perlu meningkatkan lagi usaha-usaha pendidikan pemilih atau voter’s education bagi memastikan penglibatan rakyat di dalam proses demokrasi terus berkembang,” ujarnya.
Beliau juga menggesa rakyat negeri ini yang masih belum mendaftar sebagai pemilih agar segera berbuat demikian demi menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara yang perihatin dengan masa depan negara.
Katany, badan-badan gabungan NGO seperti Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Negeri Terengganu mengambil inisiatif dalam bersama meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat tentang tanggungjawab itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan