UTUSAN ONLINE
LANGKAWI - Langkawi terus mengekalkan identitinya sebagai destinasi pelancongan menarik setiap tahun tetapi di sebalik popularitinya, ia dikatakan mempunyai banyak kelemahan, malah ada yang menganggap pulau legenda itu belum begitu bersih.
Benarkah begitu? Kalau tidak masakan ada rungutan, malah ia keluar daripada mulut Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen sendiri yang menyatakan bahawa Langkawi agak kotor dan masalah itu perlu perhatian serius.
"Saya katakan Langkawi masih kotor, saya lihat ada sampah, botol kosong yang terbuang di tepi-tepi laut," kata beliau.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengatur satu kempen berkaitan kebersihan supaya Langkawi menjadi sebuah pulau peranginan yang sentiasa bersih dengan kerjasama orang ramai, pelancong, persatuan dan agensi tertentu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Industri Pelancongan Langkawi 2009 di Auditorium Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini malam tadi.
Selain itu, kata Yen Yen, masih banyak kelemahan perlu diberi perhatian oleh pihak tertentu dalam usaha memajukan pelancongan Langkawi supaya ia menjadi pulau peranginan terbaik di dunia.
Antaranya, kata beliau, pemandu teksi dan bot perlu mempunyai banyak pengetahuan tentang Langkawi supaya mereka boleh membantu pelancong yang memerlukan sedikit sebanyak penerangan di samping menggalakkan orang ramai mengunakan perkhidmatan mereka.
"Saya pernah bertanya sesuatu tentang Langkawi kepada pemandu bot tetapi dia tidak boleh menjawab sedangkan katanya, sudah memandu bot bertahun-tahun lamanya. Sepatutnya dia tahu banyak perkara." katanya.
Beliau menambah, jeti di Kuah juga perlu diberi perhatian supaya dapat memberi keselesaan kepada pelancong manakala hotel seharusnya mempunyai kemudahan spa tempatan seperti yang ada di pulau peranginan lain termasuk Bali.
''Lagi satu, di Langkawi tidak ada kawasan yang menjadi medan untuk menjual produk seni hasil artis tempatan seperti lukisan.
''Malah saya dapati satu kawasan yang menjadi tumpuan iaitu di Oriental Village cukup berpotensi untuk menjadi tempat seumpama ini kerana ia dikelilingi pokok-pokok dan artis tempatan boleh menggantung hasil seni mereka untuk dijual di sepanjang kawasan berkenaan," jelasnya.
Sementara itu Azman memberitahu, walaupun dunia dilanda krisis ekonomi dan wabak influenza A (H1N1), Langkawi masih mampu menarik ramai pelancong pada 2009 berikutan promosi secara agresif oleh industri pelancongan dengan sokongan Tourism Malaysia.
Pada 2009, menurut beliau, Langkawi mencatat rekod kehadiran pelancong 2.49 juta orang berbanding 2.34 juta pada 2007.
Pada majlis itu, sebanyak 11 kategori anugerah diberikan kepada pemenang yang terdiri daripada individu, syarikat atau badan terlibat dalam industri pelancongan di Langkawi.
Ia termasuk pengusaha restoran, pusat beli-belah, kedai, hotel dan resort, pengeluar produk pelancongan, pemandu pelancong, operator pelancongan, operator bot dan personaliti pelancongan yang menerima hadiah berupa trofi daripada menteri pelancongan tersebut.
Bagi anugerah khas, sijil penghargaan diberikan kepada 22 penerima yang terdiri daripada persatuan, syarikat penerbangan dan pengangkutan, media massa dan individu yang terlibat dalam membantu memajukan sektor pelancongan di Langkawi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi; Exco Pelancongan Kedah, S, Manikumar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Rawi Hamid; Pengurus Besar LADA, Azman Umar dan Pegawai Daerah Langkawi, Bakar Din.
Add to Google
Tiada ulasan:
Catat Ulasan