Oleh Haspaizi Mohd Zain
KUALA LUMPUR: Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor tidak akan tunduk kepada ugutan kerajaan negeri itu yang ingin menyekat segala kegiatan yayasan berkenaan sekiranya tidak mematuhi syarat ditetapkan.
Pengerusi yayasan itu, Datuk Zainal Abidin Sakom, berkata syarat dikenakan kerajaan negeri yang mahu Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim memegang jawatan sebagai pengerusi yayasan itu tidak dapat diterima YBK.
Selain Khalid, kerajaan negeri juga menetapkan syarat supaya tiga orang lantikan mereka memegang jawatan sebagai Ahli Pemegang Amanah YBK dan itu menggambarkan proses pengambilalihan yayasan itu sedang berlaku.
“Asasnya YBK hanya memohon untuk mendapat kelulusan bagi membina kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), di atas tapak milik Permodalan Yayasan Basmi Kemiskinan (PYBK) di Hulu Selangor.
“Jadi wakil Menteri Besar yang bermesyuarat dengan kami meletak syarat supaya Khalid dilantik sebagai Pengerusi YBK dan tiga orang lagi sebagai Ahli Pemegang Amanah, sedangkan Ahli Pemegang Amanah dalam YBK hanya enam orang.
“Jadi jika mereka mahu ambil empat, YBK hanya akan tinggal dua sebagai Ahli Pemegang Amanah dan ini tidak dipersetujui oleh ahli YBK,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Yayasan yang ditubuhkan sejak 20 tahun lalu, bercadang untuk membangunkan tanah seluas 190 hektar untuk pembinaan kampus UiTM di Serendah, Rawang menerusi tanah miliknya yang dianugerahkan kerajaan negeri terdahulu sekitar 1995.
Kerajaan Pakatan Pembangkang Selangor juga dikatakan mahu merampas tanah milik YBK, selain mahu yayasan itu memberhentikan segala kegiatannya serta merta sekiranya enggan mematuhi syarat ditetapkan.
Katanya, YBK bukannya anak syarikat kepada kerajaan negeri dan tidak mahu ia menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri kerana bimbang ia akan menjejaskan fungsi sebenar yayasan berkenaan.
“Syarat yang diberikan kepada YBK tidak boleh terima dan kita sudah memohon kepada Perdana Menteri supaya pembinaan kampus itu dipindahkan ke tempat lain. Jadi isu ini sudah tamat, tetapi mengapa kerajaan negeri terus mempertikaikannya.
Katanya, beliau hairan dengan sikap kerajaan negeri yang menimbulkan isu berkenaan hampir setiap hari dan seolah-olah peranannya lebih besar daripada tanggungjawab mentadbir negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan