HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Mei 2010

Bolehkah lampu dinyalakan menerusi suara?

UTUSAN PNLINE


Zulkifli Haron (kanan) membantu peserta Bengkel Mega Kearah Rakan Inovasi di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.


KOTA KINABALU - Bolehkah lampu dihidupkan hanya dengan menggunakan suara atau satu gegaran?

Nampak mustahil tetapi jika anda mengetahui asas sesuatu inovasi, ia sebenarnya tidak sukar dilakukan seperti disangka.

Bagaimanapun, untuk mendapatkan jawapan sebenar kepada persoalan itu orang ramai boleh menyertai Bengkel Mega Ke arah Rakan Inovasi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Jumaat ini.

Bengkel yang diadakan sempena Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) Zon Sabah itu dianjurkan oleh Utusan Malaysia bersama Zull Design Autoronic Sdn. Bhd. (ZDA) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Menurut Pengarah Urusan ZDA, Zulkifli Haron, bengkel itu terbuka kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira usia dan tahap kelayakan akademik.

"Matlamat bengkel ini bukan hanya untuk menjawab persoalan itu tetapi lebih penting ia menyediakan pengetahuan paling asas tentang inovasi.

"Dengan adanya pengetahuan asas itu, ia akan menggalakkan minat masyarakat untuk mencuba, merekacipta dan berinovasi.

"Jika sudah sampai ke tahap ini, mereka bukan sahaja boleh menjawab persoalan itu tadi tetapi ratusan persoalan lain dengan mencipta pelbagai benda baru," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut ikon inovasi negara itu, inovasi sebenarnya sangat mudah, boleh mengasyikkan dan menjadi pendapatan sampingan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Katanya, sepanjang enam jam bengkel tersebut, peserta akan didedahkan dengan teori dan praktikal tentang asas inovasi.

"Sebenarnya kita boleh berinteraksi dengan benda di sekeliling kerana ia hidup tetapi untuk berinteraksi kita mesti faham asas inovasi," ujarnya.

Zulkiflie berkata, orang ramai di Sabah dinasihatkan supaya tidak melepaskan peluang itu kerana bengkel berkenaan pertama kali diadakan di sini selepas mendapat sambutan hangat di Semenanjung.

Mereka yang berminat menyertai bengkel itu boleh menghubungi Hazura Ahmad Halil di talian 019-3126094.

Bengkel Rakan Inovasi merupakan sebahagian daripada Karnival MI2010 Zon Sabah yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat ini di UMS.

Karnival bertemakan Meraikan Kreativiti mempunyai pelbagai program, antaranya pameran inovasi, pertandingan inovasi, malam kreativiti muzikal, ceramah interaktif, bengkel, pemadanan perniagaan dan juga pengumpulan idea mengenai produk inovasi.

Karnival Zon Sabah merupakan yang kedua diadakan dan dijangka lebih menarik dengan pelbagai aktiviti sains yang pastinya menggamit pengunjung.

Karnival MI2010 merupakan himpunan acara melibatkan enam zon di seluruh negara bermula Karnival Zon Utara melibatkan Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak yang diadakan di Kangar pada 27 hingga 28 Februari lalu.

Tiada ulasan: