PETALING JAYA - Keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melantik 43,000 sukarelawan di kalangan orang awam sebagai pemantau harga barangan mendapat reaksi berbeza persatuan pengguna.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) antaranya, mendapati inisiatif sama pernah dibangkitkan tidak lama dahulu namun gagal dilaksanakan dengan berkesan akibat kelemahan dari aspek sumber tenaga, bajet, latihan dan perancangan komprehensif untuk melaksanakannya.
"Sukarelawan pemantau harga bukan sesuatu yang baru. Pada dasarnya ia merupakan idea yang baik tetapi perlu ada keseragaman bukan sahaja dalam mengumpul data malah dalam memastikan maklumat terkini itu disampaikan kepada umum dalam waktu sebenar.
"Juga perlu ditetapkan fungsi pasukan pemantau sukarelawan ini, adakah untuk memantau sahaja, atau sebagai mata dan telinga kerajaan bagi membanteras pesalah laku akta-akta membabitkan barangan terkawal? Jika barangan tidak terkawal bagaimana pula?" kata Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma'amor Osman.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar the Star mengenai lebih 40,000 orang awam berdaftar sebagai sukarelawan KPDNKK yang akan membuat pemeriksaan setiap hari sepanjang musim perayaan Hari Raya.
Pemantau sukarelawan itu akan membantu pegawai penguatkuasa KPDNKK mengawal kenaikan harga barangan keperluan dan menangkap peniaga tidak bertanggung jawab yang mengambil peluang menaikkan harga barangan tanpa dikesan pihak berkuasa.
Sementara itu, Pegawai Kanan Undang-Undang Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), M. Matheevani berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha kerajaan melantik sukarelawan di kalangan orang awam bagi membantu memantau kenaikan harga barangan.
Menurut beliau, langkah tersebut merupakan inisiatif amat dihargai. Bagaimanapun katanya, tanpa sokongan masyarakat ia sukar dilaksanakan sekali pun membabitkan jumlah sukarelawan yang besar.
"Sebagai persatuan pengguna, NCCC percaya perlindungan diri itu penting. Kami menggesa pengguna agar mengambil kira hak dan tanggung jawab mereka dengan serius.
"Lebih-lebih lagi di musim perayaan, kesedaran pengguna patutnya semakin meningkat khasnya tentang harga, sentiasa bandingkan harga dan nilai produk serta elak membeli barangan terlampau mahal," katanya.
Matheevani turut mengingatkan pengguna agar tidak teragak-agak membuat aduan kepada NCCC, persatuan pengguna lain atau KPDNKK sekiranya mendapati salah laku di pihak peniaga atau kerosakan pada produk lebih-lebih lagi makanan.- mStar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan