Ali Hashim |
KEPALA BATAS: Umno disaran supaya memberikan peluang kepada PAS untuk memimpin negara bagi memberi kesejahteraan dan keadilan kepada rakyat negara ini. Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Husam Musa semasa menyampaikan ceramah anjuran Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pulau Pinang dan Kelab Amanah Rakan Industri Bersatu (KARIB) di Kompleks Sukan Bertam, Kepala Batas, Seberang Perai Utara, semalam. Dengan pelbagai masalah wang rakyat yang disalahgunakan serta kerugian yang dialami oleh pelbagai agensi milik kerajaan adalah wajar bagi PAS menjadi peneraju bagi menggantikan Umno untuk membela nasib rakyat. "Dibawah pemerintahan Umno dan BN isu yang melibatkan kerugian banyak belaku. Antara Pos Malaysia, Sime Darby, Felda dan begitu juga dalam isu PKFZ. Ia adalah suatu perkara yang memalukan kerana ketidakcekapan urus selia oleh kerajaan yang berkuasa kini. "Sekiranya mereka diberi peluang untuk terus menerajui negara maka adalah dikhuatiri wang rakyat akan terus hilang," kata Husam yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan. Katanya, Umno dan BN sekarang sudah berada dalam keadaan sakit disemua peringkat dalam banyak aspek yang menyentuh pentadbiran mereka. Oleh kerana itu, adalah lebih baik mereka menyatupadukan sesama mereka terlebih dahulu terutama di kalangan pimpinan dan ahli Umno sendiri. "Di Terengganu sendiri kita lihat bagaimana puak Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan puak Datuk Seri Idris Jusoh tidak sehaluan. Perpecahan dalam Umno bukan saja di sini. Seluruh peringkat dan pelusuk,"katanya. Bagi beliau, dalam isu penyatuan orang Melayu, formula penyatuan harus betul. "PAS mahukan Islam untuk menyatukan semua kaum dan bangsa yang ada dalam negara ini. Dengan Islam kita dapat menyatukan orang Melayu, Cina dan India. Dengan Islam juga kita dapat menyatukan semua puak dan mereka yang bermasalah. "Justeru itu sekiranya penyatuan dilakukan atas dasar Islam maka ia akan dapat memanfaatkan semua golongan masyarakat. Tetapi sekiranya dibuat atas nama suku dan bangsa, ia belum pasti boleh mendatangkan manfaat kecuali ia berpaksikan kepada agama Islam,"tambahnya lagi. Manakala Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar setuju agar Islam dijadikan asas untuk menyatukan kesemua kumpulan masyarakat termasuk Umno dan PAS. "Sekiranya Umno sanggup untuk meletakkan Islam itu diatas dalam dasar perjuangan mereka, saya yakin ia adalah satu tindakan yang mampu untuk diberi komitmen kerana ia memperjuangkan semua golongan tanpa menjadikan assabiyah itu sebagai satu kemestian "Namun begitu sekiranya bangsa dijadikan dasar dan asas dalam perjuangan, Islam itu belum pasti akan dapat dinobatkan. Oleh kerana itu maka PAS berkeyakinan hanya Islam saja yang mampu untuk dimartabatkan untuk semua kaum dan manusia yang ada dibumi ini," katanya. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, Timbalan Pesuruhjaya PAS II Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain dan kepimpinan PR tempatan. |
HALAMAN SANTAI
Ahad, 1 Ogos 2010
Beri peluang PAS sejahterakan rakyat
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan