HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Ogos 2010

Nizar lalu jalan berlumpur ke tempat ceramah

Nazri Abdullah

PASIR SALAK: Seperti suasana pada awal negara menyambut kemerdekaan dahulu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin terpaksa melalui jalan semak dan berlumpur untuk sampai ke pentas ceramah.

Bukannya jalan yang sedia ada tidak baik, namun setelah negara begitu aman selepas lebih 50 tahun merdeka, beliau terpaksa menghadapinya untuk berceramah di majlis Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di Changkat Lada, dekat sini malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, terpaksa berbuat demikian demi keselamatan dan menjayakan program malam tadi setelah polis dan anggota unit simpanan persekutuan (FRU) menyekat laluan masuk ke tempat program.

Akibat melalui jalan tersebut, kasut dan pakaian Nizar basah dan berlumuran lumpur.

"Alhamdulillah, Datuk Seri Nizar dapat bersama kita walaupun terpaksa lalu jalan berselut dan berlumpur," umum pengerusi majlis disambut laungan takbir para hadirin.

Semasa Nizar sedang berucap pula, FRU yang pada asalnya membuat sekatan di jalan masuk, mula bergerak ke pintu depan tapak program untuk masuk ke kawasan ceramah yang dibuat atas tanah persendirian.

Ekoran itu, palang untuk masuk ke tapak program ditutup dan dikunci oleh tuan tanah dan penyokong.

Anngota FRU, bagaimanapun mahu masuk ke kawasan ceramah walaupun tuan tanah meletakkan poster "Hak Milik Persendirian, Dilarang Menceroboh", namun dibenteng lebih 100 penyokong.

Mereka berada di situ sehingga ceramah Nizar selesai kira-kira sejam setengah kemudian.

Terdahulu, Nizar sewaktu memulakan ucapan turut secara sinis membidas tindakan anggota keselamatan itu.

"Malam ini 847 anggota polis, special branch (SB) dan FRU ada bersama kita.

"Selamat datang untuk dengar ceramah dan menjaga keselamatan kami," katanya disambut tepukan oleh lebih 500 hadirin yang hadir.

Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di sini akan berlangsung sehingga lewat malam ini.

Pagi ini, majlis pelancaran akan disempurnakan Nizar, kemudian beberapa kertas kerja akan dibentang sebelun majlis penutup akan disempurnakan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu petang ini.

Kemuncak program adalah pada malam ini apabila Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut berceramah di sini.

Tiada ulasan: