HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 September 2010

Cabaran Nurul tidak disahut Dr Mahathir, Ibrahim


1 izzah ibrahim maha Oleh Kim Quek

Ditengah-tengah ketegangan rasis berbentuk retorik, berpunca dari parti Umno, bekas mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mencipta sensasi apabila beliau mengingatkan bahawa orang-orang Melayu akan kehilangan kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah. Seorang Cina atau India akan menjadi perdana menteri.

Kenyataan ini disanggah oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang juga anak sulung Pemimpin Pembangkang Anwar Ibrahim. Dalam satu kenyataan keras beliau pada 24 September lalu, Nurul menuduh Dr Mahathir bermain dengan isu perkauman untuk mencetuskan kebencian kaum dan memupuk "Politik Ketakutan".

Mengenai strategi kuno Umno ini yang tertumpu kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Nurul berkata, Umno memperalatkan instrumen politik yang penuh tipu daya dan kekecewaan.

Melalui proses induktrinasi yang memusat kepada pemikiran untuk "memperbodoh, mengeliru dan melumpuhkan pemikiran masyarakat", Umno menuduh orang-orang Melayu menjadi "hamba dari segi emosi dan intelektual".

Nurul berkata, tujuan semua ini ialah untuk mengekal hegemoni politik supaya beberapa kerat daripada pemimpin boleh terus mencari kekayaan menerusi "rasuah, salah guna kuasa dan terus menerus memperkosa Perlembagaan."

Dalam menghadapi corak politik seperti ini, Nurul menawarkan "Politik Liberal dan Harapan" yang akan mentransformasi minda orang-orang Melayu dari kebimbangan yang tidak berasas kepada "sebuah komuniti yang liberal dan berkeyakinan".

Beliau kemudian dengan rendah diri menawarkan diri untuk berdebat dengan Dr Mahathir "untuk memberi penjelasan jika "kebimbangannya" itu sebenarnya wujud kerana kehilangan kuasa atau pada realitinya kehilangan kekayaan bagi segelintir mereka yang teman rapatnya. Seperti dijangka, Dr Mahathir terus "diam" dengan tawaran ini. Malaysia atau Malaysaja?

Agak menarik, sebelum peristiwa itu, Nurul juga mencadangkan supaya "dialog yang kontruktif dan ikhlas" dengan Ibrahim Ali, presiden sayap kanan ultra Umno, Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) yang penaungnya ialah Dr Mahathir.

Artikelnya bertarikh 31 Ogos lalu, bertajuk "Debat Muktamad Malaysia: Malaysia atau Malaysaja?, yang ditulis untuk menangkis cita-cita Perkasa yang tidak habis-habis memperjuangkan "hak Melayu" hingga mencetuskan ketegangan kaum dan politik perkauman.

Jurucakap- Perkasa bersuara lantang, Ibrahim dan Dr Mahathir nampak bersungguh-sungguh – melalui desakan mereka – untuk menghalang Perdana Menteri Najib Tun Razak dari melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE).

Melalui MBE, Najib berusaha meliberalisasi ekonomi dan membebaskannya dari cengkaman mereka yang korup dan menyelewengkan Dasar Ekonomi Baru dengan memainkan sentimen "hak-hak Melayu."

Artikel Nurul bertarikh 31 Ogos itu, sebenarnya merupakan satu dokumen penting untuk meninjau dengan lebih mendalam mengenai dilema orang-oang Melayu dewasa ini serta bukan Melayu di negara ini.

Dalam artikelnya, beliau mengkaji, menganalisa serta menjawab beberapa persoalan penting:

  • Apa sebenar "hak-hak Melayu"?
  • Apa asas perlembagaan berhubung hak-hak ini?
  • Apa sebenarnya yang tercatat dalam Perkara 153 yang menjadi asas pembinaan keistimewaan-keistimewaan kepada sesuatu kaum itu?
  • Apakah bentuk kelebihan kaum yang dimuat dan apa yang tidak dimuat dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan?
  • Apakah punca rasa tidak puas hati orang-orang Melayu?
  • Dalam perkara apakah mereka rasa tidak berpuas hati?
  • Apakah punca sebenar kegagalan usaha untuk meningkatkan taraf hidup orang-orang Melayu walaupun dibantu oleh Dasar Ekonomi Baru?
  • Apakah jalan penyelesaian sebenar untuk mengatasi permasalahan-permasalahan ini?
  • Apakah kesan buruk yang akan menimpa negara ini jika perjuangan bercorak perkauman ini mengatasi perjuangan jalan penyelesaian yang rasional, jika doktrin "Ketuanan Melayu" memenangi pada pilihan raya akan datang?

Dalam artikelnya Nurul mencadangkan di adakan "dialog yang ikhlas dan berbentuk konstruktif" dengan Perkasa untuk mencapai kesefahaman tentang isu-isu penting dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian.

Melihat dari berbagai sudut, artikel Nurul merupakan satu penulisan yang cemerlang, kerana dengan tepat menjelaskan Perkara 153, menentukan fakta dari mitos, menganalisa anggapan-anggapan yang tidak jelas, mengenal pasti sebab-sebab sebenar dan mencari jalan penyelesaian, dan lebih dari itu, memperlihatkan keikhlasan bagi mencari jalan untuk faedah semua.

Tindakan-tindakan polis yang memalukan negara

Tetapi akhirnya, apakah yang beliau dapat dari usaha yang berani ini? Daripada mendapat pujian dalam usahanya ini, sebaliknya beliau dipanggil ke balai polis di mana beliau disiasat di bawah Akta Hasutan. Tindakan polis ini adalah ekoran dari laporan yang dibuat oleh Perkasa mendakwa Nurul "mempersoal" Perlembagaan dalam artikelnya.

Satu tindakan yang pelik! Orang yang sepatutnya ditahan di balai polis dan disoal siasat, sepatutnya orang yang membuat aduan, iaitu Zaira Jaafar, wakil Perkasa kerana membuat tuduhan yang tidak berasas. Beliau yang sepatutnya dihukum atau sekurang-kurangnya diberi amaran kerana membuat laporan palsu dan menghina pihak lain.

Sejak akhir-akhir ini, menyaksikan semakin meningkat tindakan polis yang menyalah guna kuasa, menekan para pembangkang dan penentang mereka dan mengadakan siasatan walau dengan alasan yang remeh, merampas buku mereka secara haram dan malahan menahan mereka walau sekejap.

Seperti apa yang berlaku kepada kartunis Zunar yang ditahan dan dibawa dari satu balai polis ke balai polis yang lain, tidak kurang dari enam tempat dan pada ketika yang sama, tidak dapat membuat keputusan di bawah akta atau undang-undang mana pelukis kartun itu akan didakwa.

Dengan tindakan polis yang memalukan ini, pihak polis telah menjatuhkan imej negara dan menurunkan gred sebagai destinasi pelaburan. Tidak dapat disebutkan lagi, tindakan polis ini telah menyebabkan tuan-tuan politik mereka semakin kehilangan sokongan pengundi, lebih dari apa yang mereka jangkakan.

Sekarang berbalik kepada Dr Mahathir dan Ibrahim Ali yang enggan menjawab cabaran Nurul Izzah. Kita hanya dapat membuat kesimpulan bahawa riuh rendah yang mereka cipta tidak boleh bertahan lama apabila berdepan dengan tentangan masyarakat yang bersikap rasional.

Mereka tahu kebenarannya tetapi bersandiwara seolah-olah tidak tahu. Dan keengggan mereka untuk berdebat atau berdialog secara terbuka hanya menunjukkan mereka tidak bersedia untuk membuang topeng yang mereka pakai.

Tiada ulasan: