Rais berkata beliau telah mengarahkan SKMM supaya merekodkan perkara-perkara yang perlu seperti masa penyiaran, kandungan suara dan simbol yang dikeluarkan oleh paderi tersebut dalam klip video itu.
“Kita akan buat siasatan secepat mungkin di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, saya sendiri akan tentukan supaya kes ini dibawa ke perhatian pihak berkuasa secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar “Isu dan Cabaran Dalam Memulihara Arkib Audiovisual di Rantau Tropika” di sini hari ini.
Semalam, seorang penulis blog yang juga Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA) Zainol Abideen mendedahkan tindakan seorang paderi, Benjamin Stephen yang didakwa menghina agama Islam dan Rasulullah.
Paderi tersebut dilaporkan menghina Islam ketika menyampaikan ceramahnya di sebuah gereja di Kuching, Sarawak baru-baru ini.
Zainol dalam blognya http://mahaguru58.blogspot.com turut meminta pihak berkuasa bertindak pantas sebelum umat Islam bertindak sendiri.
Rais berkata isu itu merupakan hal yang serius dan kementerian akan mengambil tindakan tidak kira di mana ia dipancarkan sama ada menerusi laman YouTube atau Yahoo, asalkan ia disiarkan di negara ini kepada pendengar dan pemerhati internet.
“Saya juga akan hubungi pihak penguatkuasa supaya semua laporan dan siasatan SKMM yang dikemukakan dapat perhatian segera oleh mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan