HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 September 2010

Mengapa bangkitkan projek Kimanis RM2.4b

Dzulfikar Mashoor

PETALING JAYA: Rancangan pentadbiran Datuk Seri Musa Aman mahu membangkitkan isu pembinaan terminal gas di Kimanis wajar dipersoal, kata Ketua Komunikasi PKR Sabah, Ronny Klassen.

"Mengapa baru sekarang, projek bernilai RM2.4 bilion ini mahu dibangkitkan di Parlimen walhal dia (Musa) terlibat dalam proses rundingan sebelum ini.

"Setelah tender diserahkan pada suatu syarikat lain, pemberian projek paip gas itu dikaitkan dengan syarikat keluarga (Tan Sri) Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak) pula," ujarnya semalam dalam suatu wawancara di ibu pejabat PKR, di sini.

Difahamkan, Naim Holding Berhad pada 1 September lalu mengumumkan Samsung-Naim JV dan subsidiarinya, NCSB Engineering Sendirian Berhad mendapat projek bernilai AS$766.39 juta (RM2.4 bilion) daripada Petronas Carigali Sendirian Berhad.

Kedua-dua syarikat itu diarahkan membina prasarana Sabah Oil dan Terminal Gas di Sabah, yang merupakan salah satu projek mega kerajaan Pusat.

Katanya lagi, tidak timbul soal orang Sabah tidak mendapat hak membangunkan prasarana tersebut seperti yang dibangkitkan oleh pentadbiran Musa, Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sabah tersebut.

Ini kerana, katanya Musa sendiri terlibat dalam proses rundingan dan pembidaan tender, mewakili kerajaan Sabah.

Dari segi yang lain, beliau turut mempersoal kesungguhan Musa untuk membangunkan hub gas dan sistem gas berpaip di negeri Sabah.

Menurut beliau, Musa pernah suatu ketika dahulu mengetepikan cadangan umum supaya bekalan elektrik dari Empangan Bakun di Sarawak disalurkan ke Sabah kononnya atas faktor geografi.

"Sebelum ini, memang ada permintaan untuk kita (Sabah) mendapatkan bekalan elektrik hasil pembinaan empangan Bakun.

"Alasan mereka (kerajaan negeri), bekalan elektrik susah nak disalurkan ke Sabah kononnya sukar memasang kabel atas tanah disebabkan faktor bukit-bukau, hutan rimba yang tebal dan faktor geografi yang lain."

Walhal, beliau berpendapat, rancangan memasang sistem paip gas yang cuba direbut oleh Sabah dan Sarawak sebenarnya jauh lebih sukar berbanding cadangan menyalurkan bekalan elektrik dari Bakun ke Sabah.

"Kenapa saluran paip gas yang nak ditarik dari Kimanis ke Sarawak pada pendapat saya sebenarnya lebih susah mahu dilakukan.

"Sedangkan, paip gas dari Kimanis ke Sarawak ini juga sebenarnya melalui bukit-bukau yang sama," soalnya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa konflik tersebut berpunca oleh kegagalan kroni tertentu yang dekat dengan pentadbiran Musa mendapatkan projek mega itu.

Rabu lepas, Ahli Parlimen BN dari Negeri di Bawah Bayu itu dilaporkan bercadang membangkitkan isu pembidaan projek mega tersebut di Dewan Rakyat, awal bulan depan.

Bagi mereka, projek di negeri itu lebih layak dibangunkan oleh anak watan sendiri, bukan kontraktor yang dikatakan dekat dengan keluarga Taib Mahmud.

12 ulasan:

azman berkata...

apa saja yang dibuat oleh kerajaan pasti akan dipersoalkan oleh pembangkang. sepatutnya mereka menyokong jika usaha kerajaan itu membawa kebaikan kepada semua.

rasanya, memang wajarlah jika Ahli Parlimen BN dari Negeri Sabah bercadang membangkitkan isu pembidaan projek mega tersebut di Dewan Rakyat kerana kontraktor tempatan juga perlu diberikan peluang.

Unknown berkata...

Kerana membangkitkan isu kemanis itu pun mahu ditanya. Biarlah KM sabah membangkitkan, bukan juga KM sabah mahu buat apa-apa cuma membangkitkan isu saja. tidak salah juga PKR. yang penting sekarang projek itu mesti berjalan dengan lancar dan tidak ada masalah dengan rasuah lagi. Faham-fahamlah kalau politk PR ini, semua boleh jadi isu.

Paquin berkata...

Tak dibangkit pun bising.. Bila dibangkit pun lagilah bising.. aish hairan. huhu

Paquin berkata...

Betul tu ada. Sepatutnya kita sokong usaha kerajaan negeri... Mana tau pas ni kontraktor tempatan dapat lebih banyak peluang. hehhee

Paquin berkata...

Apapun sasya harap hal ni jangan lah dipolitikan.. Bagilah sokongan supaya semuanya berjalan lancar dan bukannya asyik nda puas hati ja. huhuhu

Anak Sabah berkata...

Mungkin ada alasan yang baik mengapa KM berbuat demikan. Manatau dengan membangkit projek ini, boleh mendatangkan keputusan yang lebih baik.

mantra berkata...

adalah satu perkara baik Musa Aman membangkitkan isu projek di Kimanis, ini menunjukkan Musa Aman prihatin dgn kepentingan penduduk Sabah, kontraktor sabah perlu diberi peluang untuk menjalankan projek ini.

Anak Sabah berkata...

Dengan pemerhatian saya, kebelakang ini PKR asyik menimbulkan pelbagai isu tanpa bukti yang baik. Mereka seolah-olahnya mahu mempolitikkan pelbagai isu secara membabi buta. Seperti isu Kasino itu yang langsung tiada kepastian lagi dan beberapa kes yang lain. Adakah isu Kimanis ini salah satu daripada isu yang mahu dipolitikan?

Jika PKR meneruskan permainan politik seperti ini, sokongan rakyat pasti akan merosot.

Tanpa Nama berkata...

bila projek diberikan kepada pihak luar, ada pula yang mempertikaikan kononya mengabaikan kontraktor tempatan. bila projek itu diberikan kepada kontraktor tempatan, pasti dituduh pula kroni. jadi isu ini tidak akan pernah selesai. bagi saya yang penting projek pembinaan terminal gas di Kimanis ini dapat berjalan dengan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah seperti lebihan kos atau kelewatan.

Tanpa Nama berkata...

mungkin lebih baik jika projek tersebut diusahakan secara usahasama antara kontraktor luar dan tempatan..

madd berkata...

pekara seperti ini tidak perlulah dipolitikkan. yang penting apa yang dirancang berjalan dengan baik dan berjaya mencapai matlamat perlaksaannya.

Tanpa Nama berkata...

ya.. sebaiknya projek ini diberi kepada kontraktor luar dan tempatan, kontraktor ini dpt bekerjasama dan berkongsi kemahiran. apapun, harap projek ini berjalan dgn lancar.