TEMERLOH: Di kala tumpuan kini terarah ke Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas di Kelantan, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mahu perhatian wajar juga diberikan kepada kes Dun Kota Siputeh, Kedah.
Bercakap kepada Harakahdaily hari ini, Tuan Ibrahim berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memberi tekanan kepada Mahkamah Rayuan agar segera membuat keputusan berhubung status kerusi Dun tersebut.
Menurutnya, adalah tidak adil kerusi Dun itu ditinggalkan kosong begitu lama iaitu hampir lapan bulan tanpa sebarang keputusan.
"Orang-orang di Kota Siputeh telah ditinggalkan tanpa wakil rakyat mereka," katanya.
Pertikaian berkenaan status kerusi Dun itu timbul apabila wakil rakyatnya, Abu Hassan Sarip tidak hadir ke persidangan Dun dua kali berturut-turut.
Tindakan itu didakwa telah melanggar Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah dan mendorong Yang Dipertua Dun, Dr Abdul Isa Ismail menghalang Abu Hassan menghadiri Sidang Dun pembentangan bajet November lalu. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan