HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 September 2010

Kenyataan Branson: Wan Azizah gesa kerajaan buat reformasi system

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata PKR mengalu-alukan kenyataan Pengasas Virgin Group, Sir Richard Branson berhubung kes Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil diharap ia menjadi indikator buat Umno-BN untuk melaksanakan reformasi sistem.

Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata partinya konsisten mempertahan prinsip kedaulatan undang-undang melalui sistem kehakiman yang telus dan saksama.

“Yang kekal dikecam ialah penyalahgunaan proses mahkamah dan memperalatkan jentera dan instrumen kerajaan untuk memfitnah sewenangnya.

“Saya merakamkan penghargaan di atas kenyataan yang dibuat oleh Sir Richard Branson, usahawan terkemuka Britain yang menyatakan pandangan ikhlas beliau mengenai konspirasi dan fitnah ke atas Anwar,” katanya.

Pada satu seminar di ibu negara kelmarin, Branson berkata perbicaraan liwat melibatkan Anwar telah menjejaskan reputasi Malaysia.

Dalam komennya semalam pula, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia akan menjadi lebih menarik kepada pelabur jika negara ini tidak dicemari kes seperti itu.

“Memang betullah jika tidak ada kes seperti itu, Malaysia akan jadi lebih menarik. Maka, biarlah mahkamah menentukannya... lebih cepat kes itu diselesaikan, lebih baik bagi kita.

“Jika ditanya secara peribadi, jika saya mahu melihat kes ini terjadi dalam mahkamah Malaysia, saya tidak mahu ianya berlaku di mahkamah Malaysia. Saya ingin agar Malaysia bebas daripada semua ini tetapi ini bukannya disebabkan oleh kerajaan,” katanya.

Katanya beliau yakin pendapat Branson itu bukan bertujuan untuk mencampuri urusan dalam Malaysia sebaliknya bertujuan membantu inisiatif Malaysia.

Dr Wan Azizah berkata, kenyataan Branson di ibu negara kelmarin, tuntasnya senada dengan kenyataan tokoh-tokoh besar dunia seperti Sheikh Yusuf Al-Qardhawi, Sheikh Taha Jabir Al-alwani dan Maulana Ihsan Hendriks yang mengecam perbicaraan berat sebelah kes konspirasi kedua ke atas Anwar.

“Penekanan beliau mengenai keperluan Malaysia menjadi lebih terbuka wajar dipandang serius oleh pemerintah,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata ketika imej negara sekian lama dicemar dengan ketidakadilan, senario ini jika dibiar berterusan, pastinya mengesani persepsi masyarakat dunia ke atas imej Malaysia.

Tiada ulasan: