RAJA NURFATIMAH MAWAR MOHAMED
HAMPIR saban hari laporan remaja lari rumah dilaporkan media. Kehilangan yang disangka membabitkan pihak ketiga, tetapi akhirnya ditemui di rumah rakan. Apakah ini bukti pengaruh rakan, cinta monyet atau gelojak hati muda sehingga sanggup membelakangkan keluarga?
Wartawan RAJA NURFATIMAH MAWAR MOHAMED, menyelami gejala itu bersama artis muda, Liyana Jasmay, bagi mendapatkan pandangannya.
Apakah yang terlintas di hati anda sebaik membaca kisah remaja lari rumah?
Keadaan hari ini cukup membimbangkan. Sebagai remaja, saya melihat isu pelajar lari rumah dan mengikut teman lelaki hingga nasib malang dirogol tidak seharusnya didiamkan saja. Keluarga perlu mengambil berat soal anak remaja. Dan sekolah pula perlu menerapkan nilai moral dalam diri pelajar.
Pada pandangan anda, apakah ini disebabkan pengaruh rakan sebaya, kekasih atau semata-mata gelojak hati muda? Apakah ia turut berkaitan sikap ‘cuba dulu, sesal kemudian’?
Bagi saya, pengaruh rakan ada benarnya, tapi persekitaran rumah memberi kesan terhadap diri seseorang. Apa pun, semuanya bermula dari rumah dan persekitaran. Ibu bapa seharusnya ambil tahu dengan siapa anak-anak berkawan dan ke mana mereka pergi. Terlalu memberi kebebasan menjadi salah satu punca. Remaja mudah tertekan, terpengaruh dan perasaan memberontak cukup menebal dalam jiwa. Tetapi saya bertuah perhubungan dengan ibu bapa, adik beradik dan rakan baik sangat rapat dan mereka mempengaruhi hidup saya.
Tidakkah ia turut membuktikan betapa kuatnya pengaruh rakan berbanding ibu bapa?
Sebenarnya bukan pengaruh kawan saja, televisyen dan media massa juga memainkan peranan. Remaja mudah percaya apa saja yang dibaca dan ditonton. Tanpa perhatian keluarga, mereka bebas melakukan apa saja. Mereka tidak fikir baik, buruknya. Jadi, bagi saya keluarga sihat menjana kehidupan yang bahagia.
Pernahkah anda berdepan pengalaman rakan mengalami masalah sama? Pernahkah anda sendiri menghadapi situasi terpaksa memilih antara mengikut rakan atau mengutamakan keluarga?
Saya bersyukur tidak pernah melalui kebebasan begini. Walaupun saya punya ramai rakan yang kehidupan mereka tidak sebaik hidup saya, ada yang dari keluarga berpecah belah tetapi saya syukur, kawan-kawan saya punya keperibadian yang baik. Hubungan kami kuat dan tidak berlandaskan perasaan. Mungkin juga kebanyakannya dari kalangan mereka yang berpelajaran, jadi fikiran setiap mereka berbeza. Syukur.
Apakah yang sering anda lakukan jika berdepan masalah?
Jika ada masalah, mama orang pertama saya akan luahkan. Ya, emosi harus diluahkan dan sebagai orang tua, mereka bersedia menerima dan memaafkan. Anak-anak memang sangat ‘fragile’ dan mereka akan melakukan kesilapan.
Apa peranan keluarga bagi mengekang masalah ini?
Ibu bapa patut menjadi pendengar yang baik, memahami dan menyelami isi hati dan jiwa anak. Adik beradik pula patut bersatu dan saling menyokong. Bagi mereka yang tiada tempat untuk mencurahkan perasaan, carilah medium lain untuk meluahkannya. Contoh seperti menulis, tuliskan segala nukilan hati dan perasaan. Make something out of it!
Masalah remaja lari rumah turut mencetuskan persoalan mengenai peranan sekolah. Apa yang boleh dilakukan pihak sekolah?
Pihak sekolah seharusnya mempunyai persekitaran yang bagus untuk belajar. Selain itu, pelajar yang bermasalah dan liar pula perlu menghadiri kelas kaunseling atau sekurang-kurangnya ambil berat soal mereka. Kita tidak tahu, mungkin ada antara mereka punya masalah di rumah dan mereka ke sekolah hanya untuk memberontak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan