HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 September 2010

Khalid hadapi ujian getir di cabang Kuala Selangor


khalid bm Oleh Fazy Sahir

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata bagi memastikan kelancaran pemilihan di cabang Kuala Selangor Ahad ini, pihaknya akan meningkatkan aspek keselamatan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku seperti yang terjadi di beberapa cabang minggu lalu.

Menurut Khalid, persediaan aspek keselamatan ini diambil bagi memastikan semua ahli yang mengundi selamat sepanjang proses pemilihan dijalankan.

"Bagi memastikan proses bergerak dengan licin semasa pemilihan Ahad ini, kita akan mencari sukarelawan untuk menjaga tempat-tempat undi dan kawalan bagi mereka yang boleh keluar masuk seperti dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kami turut mengalu-alukan pemerhati, dan persediaan akan diambil dengan mengambil kira kejadian yang berlaku pada minggu lepas." katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco di sini hari ini.

Pemilihan cabang minggu lalu menyaksikan beberapa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang di beberapa cabang termasuklah di Klang, Kapar, Petaling Jaya Selatan dan Kuala Langat terpaksa ditangguhkan kerana berlakunya gangguan oleh anasir luar.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail kelamarin berkata pihak JPP turut menerima tiga laporan kotak undi pecah di cabang Klang, Kapar dan Kuala Langat.

Khalid ditentang tiga calon

Sementara itu, pada pemilihan cabang Kuala Selangor Ahad ini, Khalid akan ditentang hebat tiga calon lain iaitu Fuziah Sulaiman, Mazli Saring dan M Thamilvaanan@ Muhammad Vaanan Abdullah.

Pemilihan ketua cabang ini bakal memberi tekanan buat Khalid ekoran tiada ‘tiket emas’ bakal diperoleh walaupun beliau merupakan seorang menteri besar mahupun seorang ahli parlimen.

Ini kerana jika diukur pada pemilihan minggu lalu, yang tertewas di cabang masing-masing termasuk ahli Dewan Undangan Negeri Elizaberth Wong, ahli parlimen Telok Kemang Datuk Kamarul Bahrin serta naib presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub.

Khalid turut menjelaskan bahawa akan menyatakan pendiriannya 5 Oktober depan sama ada mahu bertanding timbalan presiden atau sebaliknya.

"Kita akan umumkan 5 Oktober ini," jelasnya ringkas. Khalid secara rasminya layak untuk bertanding jawatan timbalan presiden apabila menerima empat pencalonan setelah 150 cabang selesai bermesyuarat minggu lalu.

Ahli parlimen Gombak Azmin Ali terus unggul di hadapan apabila menerima 90 pencalonan diekori Ketua PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim (33), Mustaffa Kamil Ayub (16) dan ahli parlimen Batu Tian Chua (4).

Bagaimana peluang Khalid?

FMT turut mendapatkan beberapa ulasan daripada ahli-ahli PKR Kuala Selangor mengenai pemilihan cabang Kuala Selangor.

Sebahagian yang dihubungi menjangkakan Khalid akan tewas pada pemilihan kali ini ekoran mereka kurang senang dengan pendekatan dilakukan oleh beliau.

Menurut ahli tersebut yang enggan namanya disiarkan, Khalid akan tewas kerana beliau gagal mentadbir politik dengan sebaiknya.

"Menteri besar akan tewas kerana dia tidak mahir mentadbir politik dengan baik, kami disini menolak kepimpinan politik beliau.

"Tetapi dari segi korporat dia menjaga negeri beliau memang bagus, itu tidak dinafikan. Dari segi politik memang beliau kurang," katanya yang dihubungi FMT.

Namun sebaliknya bagi ketua penerangan cabang Kuala Selangor Ibrahim Mahiden yang menyifatkan pertandingan ini sebagai pertandingan kekeluargaan.

Beliau turut menjangkakan kemenangan kali ini agak seimbang, memandangkan calon yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing.

"Masing-masing ada pendekatan tersendiri, malah Tan Sri Khalid sebagai pemimpin negeri turut membuat gerak kerja dan turun padang. Calon-calon lain buat ceramah dan bertemu ahli-ahli.

"Maka saya lihat kemenangan akan seimbang bagi semua calon," katanya yang juga bertanding timbalan ketua cabang.

Tiada ulasan: