KUALA LUMPUR — Kartunis politik Zulkiflee Anwar dibebaskan petang ini, beberapa jam selepas dikenakan perintah tahanan reman sehari oleh Mahkamah Majistret Sepang.
Pembebasan beliau disahkan oleh salah seorang peguamnya Murnie Hidayah Anuar.
“Dia dibebaskan dengan jamin polis dan perlu melaporkan diri di balai polis dalam tempoh dua minggu ini,” kata Murnie kepada The Malaysian Insider.
Tidak jelas sama ada bekas editor Suara Keadilan ini akan didakwa ataupun sebaliknya.
Zulkiflee (gambar) ditahan semalam di bawah Seksyen 4(1) dan dibawa ke lokap polis Sepang.
Dia dihadapkan di hadapan Majistret Zulhelmy Hassan pagi ini, di mana perintah reman sehari dikeluarkan tanpa kehadirna peguamnya.
Pejabatnya di Brickfields diserbu polis semalam dan buku terbaru bertajuk “Cartoon-o-phobia” dirampas.
Serbuan itu dibuat beberapa jam buku tersebut dijadual dilancarkan oleh bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Zulkiflee yang turut dikenali sebagai Zunar telah menghasilkan tiga buku sebelum ini iaitu “1 Funny Malaysia”, “Perak Darul Kartun” dan “Isu Dalam Kartun”, yang kesemuanya diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Sebelum dia dibebaskan, polis mengunjungi pejabat Malaysiakini di Bangsar di sini, syarikat yang menerbitkan “Cartoon-o-phobia”.
Ia dikeluarkan oleh Kinibooks.
Menurut laporan Malaysiakini, polis datang untuk mencari buku berkenaan, tetapi meninggalkan premis itu sejam kemudian, kira-kira 5 petang, dengan tangan kosong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan