HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 September 2010

Bantuan kewangan mangsa ribut disegerakan

Mohd Shubihi Muhamad Zain

SUNGAI PETANI: Kerajaan Negeri Kedah akan menyegerakan bantuan kewangan kepada mereka yang terlibat dalam kejadian ribut di tiga buah kampung dalam Mukim Simpor, dekat sini, petang semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang melawat tempat kejadian berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kewangan untuk membaiki rumah yang rosak dalam masa terhampir ini setelah mereka yang terlibat tampil membuat laporan kerosakan.

"Kerajaan akan menyalurkan sejumlah wang kepada mangsa-mangsa yang terlibat setelah semua laporan lengkap diterima. Bantuan tersebut adalah bagi membaiki rumah yang rosak akibat dari musibah yang melanda.

"Sebagai bantuan awal, kerajaan negeri juga turut menghulurkan hamper barangan keperluan harian sebagai tanpa bersimpati di atas apa yang terjadi," katanya ketika menyampaikan bantuan segera kepada mangsa di Masjid Kampung Bukit Kecik, Sungai Pasir, petang tadi.

Azizan turut melawat rumah-rumah di kampung berkenaan yang rosak teruk dan menghulurkan sumbangan peribadinya bagi membantu meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung mangsa berkenaan.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Merdeka, Haji Abdullah Jusoh, Senator Ir Zamri Yusoff dan Penolong Pegawai Daerah Kuala Muda, Elias Shuib.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 3.15 petang semalam, sejumlah 250 buah rumah di Kampung Bukit Kecil, Kampung Batu Lintang dan Kampung Telok Wang dalam Mukim Simpor rosak dipukul ribut sekitar 15 minit.

Lebih 30 buah rumah mengalami kerosakan teruk dan keseluruhan bumbung rumah diterbangkan angin yang cukup kuat, manakala selebihnya hanya mengalami kerosakan kecil.

Kerja-kerja membaiki rumah dan membersihkan kawasan bencana dilakukan oleh orang ramai dan dibantu Pejabat Daerah Kuala Muda, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Turut membantu mangsa adalah sukarelawan dari Pusat Khidmat Wakil Rakyat Pantai Merdeka dan Unit Amal Kedah.

Tiada ulasan: