HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 September 2010

Tanam semula: Peneroka patut tuntut RM17,000

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berpendapat, lebih 11,000 peneroka yang mematuhi prosedur Felda sepatutnya menuntut bayaran tanam semula masing-masing.

Menurut pengerusinya, Mazlan Aliman, Mahkamah Tinggi Kuantan semalam telahpun memutuskan bahawa 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 berhak mendapat bayaran RM1,700 seekar.

"Penanam secara sendiri kelapa sawit (membabitkan) lebih kurang 11 ribu orang, lebih tujuh hingga lapan tahun mereka keluar modal sendiri dengan ikut semua prosedur Felda.

"Dengan kemenangan yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi ini membuktikan (bahawa) apa yang diperjuangkan oleh peneroka adalah betul dan Felda wajar menunaikan janji," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau turut menasihatkan Felda supaya memulangkan semula hak pampasan sebanyak RM23,800 untuk 14 ekar tanah kepada setiap peneroka yang terbabit menyaman Felda.

Malah, katanya Felda sepatutnya turut membayar RM17,000 kepada 11,000 peneroka yang mengikut prosedur Felda memandangkan mereka turut terbabit dalam aktiviti tanam semula sawit di 10 ekar tanah masing-masing.

"Saya minta Felda tunaikan janji-janji mereka kepada peneroka-peneroka lain yang ikut prosedur Felda dan layak mendapat hak masing-masing (bayaran tanam semula)," ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Peneroka dan Pembangunan Tanah PAS Pusat.

Sebelum pada itu, beliau menganggap kemenangan 10 peneroka terbabit adalah pertolongan daripada Allah Taala.

"Lebih 15 tahun kita perjuangkan, akhirnya diberi kemenangan oleh Allah SWT," ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam Hanipa Maidin kerana berjuang memulangkan semula hak peneroka terbabit.

Beliau berharap, kemenangan dalam kes peneroka saman Felda itu mampu menjadi rujukan bagi peneroka Felda-Felda lain kelak.

Tiada ulasan: