Selepas Hata Wahari, wartawan yang 15 tahun berkhidmat di bawah akhbar milikan UMNO, Utusan Malaysia, terpilih sebagai Presiden NUJ Malaysia (National Union of Journalists) pada 17 September, beliau telah mengeluarkan dua kenyataan berturut-turut. Bermula dengan mempersalahkan Ketua dan pengarang kanan Utusan Malaysia, yang didakwanya hanya memenuhi keperluan "tuan politik" masing-masing; disusuli kemudian dengan gesaan agar Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menghentikan larangan media untuk membuat liputan.
Utusan Malaysia jelas tidak senang dengan hujah Hata yang menuding jari ke "dalam", lantas menemplaknya dengan kenyataan Presiden Kelab Veteran Utusan Malaysia, Raja Ahmad Niza Raja Ismail. Sementara itu, kenyataan Hata Wahari membeliakkan sesetengah orang, setidak-tidaknya Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, yang tampil untuk memberi sokongan.
"Keberanian" Hata Wahari, "ketidak-senangan" Utusan Malaysia, "sorakan" Lim Kit Siang telah memperlihatkan kegagalan bekas Presiden NUJ, Norila Md Daud untuk melakukan apa-apa ketika beliau menyandang jawatan ini. Malah, ia mencerminkan bahawa pertubuhan yang kononnya mewakili 1400 orang wartawan ini tidak mencapai apa-apa dalam misinya untuk membela kebebasan media, autonomi media dan etika profesional, untuk sekurang-kurangnya 20 tahun kebelakangan.
NUJ ditubuhkan pada tahun 1962, kononnya satu-satunya badan yang mewakili 1400 orang wartawan dalam negara, malah satu-satunya badan yang berkuasa untuk berunding dengan pihak majikan berhubung gaji dan syarat perkhidmatan, bagi pihak wartawan dalam media bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina.
Dua tahun lagi NUJ akan menyambut ulangtahunnya ke-50, setelah setengah abad ia ditubuhkan. NUJ secara perbandingannya lebih aktif, malah prestasinya lebih menonjol dahulu. Prestasi yang memahat ingatan umum kebelakangan ini adalah usahanya untuk menggerakkan Kempen Anti Akta Rahsia Rasmi pada tahun 1985, bersama NGO Aliran Kesedaran Negara. 36,000 tandatangan telah dikutip dalam kempen peringkat kebangsaan ini.
Namun demikian, selepas tahun 1990, kewibawaan NUJ jelas meluntur. Norila Daud yang baru menyerah tampuk pimpinan NUJ ialah editor Utusan Malaysia. Tempoh jawatannya 12 tahun berturut-turut selepas beliau terpilih pada tahun 1998 tidak menunjukkan prestasi yang menonjol.
Dari tahun 1998 hingga 2001, ketika laungan "Reformasi" berkumandangan di seluruh pelusuk negara, Kementerian Dalam Negeri kerap bertindak untuk mengharamkan majalah politik, malah bahan bacaan yang diterbitkan Ahmad Lutfi Othman ketika itu menjadi sasaran utamanya.
Namun, ketika diminta wartawan untuk memberi respon terhadap tindakan KDN mengharamkan Detik, Norila Daud enggan berbuat demikian atas alasan "sudah lama tidak membaca Detik", malah menambah, "Ketika saya baca dahulu, saya rasa sesetengah artikel adalah agak seimbang (well-balanced), sementara sesetengahnya lebih pro-pembangkang." Jelas, beliau tidak faham asas kebebasan akhbar bahawa kerajaan tidak seharusnya menekan pendapat yang berbeza.
Selain meningkatkan kepentingan industri, sosial dan pengetahuan anggotanya, objektif pertama NUJ Malaysia adalah mempertahankan kebebasan akhbar, mengekalkan profesional anggotanya dan etika akhbar yang bertaraf tinggi, sebelum disusuli dengan syarat kerja yang lebih baik, dan menyelaras hubungan antara buruh dan majikan.
Namun demikian, dalam tahun-tahun kebelakangan ini, NUJ kurang menunjukkan pendirian yang jelas dalam isu kebebasan akhbar, malah tidak aktif sebagaimana pertubuhan masyarakat civil yang lain dalam usaha menggerakkan dan mempertahankan kebebasan akhbar. Selain mewakili anggota untuk berunding dengan majikan dalam perjanjian kolektif (collective agreement), fungsi utamanya adalah mengadakan aktikiti untuk menjalin hubungan.
Dalam manifesto Hata Wahari ketika bertanding jawatan Presiden, beliau menyenaraikan lima matlamat yang ingin dicapainya dalam tempoh jawatannya. Pertama, mendesak kerajaan untuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984; kedua, mendesak kerajaan menetapkan garis panduan kepada media berhubung isu agama dan perkauman; ketiga, mendesak kerajaan untuk memansuhkan peraturan pembaharuan permit setiap tahun; keempat, memberikan kebajikan kepada anggota, terutama jaminan insuran, dan kelima, menubuhkan Majlis Presiden untuk memantau sama ada akhbar melanggar etika profesional, terutama ketika mengendalikan isu perkauman dan agama.
Dua kenyataan selepas beliau menyandang jawatan Presiden, pada dasarnya selari dengan objektif penubuhan NUJ Malaysia sebermulanya, bahkan selari dengan manifestonya. Apa yang kurangnya, kenyataannya mungkin mengundang pertikaian, bahawa beliau cuba berlaku "adil" dengan menampar muka kedua-dua BN dan PR, tanpa meneliti masalah pokok sebenarnya.
Namun demikian, untuk berlaku adil kepada Hata Wahari (gambar kanan), ini mungkin kenyataan pada permulaannya, dan diharapkan beliau akan lebih lantang, dan lebih berani dalam kenyataannya pada depan, untuk menonjolkan pendirian tegas, yang seharusnya ada pada pertubuhan wartawan.
Kami juga berharap, suara baru Hata Wahari bakal melakar wawasan dan imaginasi baru untuk anggotanya dalam NUJ Malaysia, dan kembali kepada objektif asal NUJ Malaysia apabila ia ditubuhkan. Untuk harapan ini, anggota NUJ, malah wartawan yang lain seharusnya menggembleng sokongan untuk menjadi benteng Hata Wahari, dan membantu NUJ mengembalikan keberanian dan kewibawaannya yang tercicir. Kita tidak seharusnya berpeluk tubuh membiarkan pahlawan terkorban bersendirian. Jikalau itu berlaku, maka tiada lagi pahlawan yang berani akan muncul pada masa depan.
*Lidah Pengarang ini diterjemah oleh Lim Hong Siang dari teks asal, yang disiarkan dalam MerdekaReview, edisi bahasa Cina pada 25 September 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan