HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 September 2010

Peguam didakwa palsukan dokumen tanah, menipu

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang peguam hari ini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memalsukan dokumen tanah dan menipu pegawai dan kakitangan Pejabat Galian dan Tanah di sini, tiga tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, S Tersaim, 60, didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen-dokumen palsu iaitu satu Borang 14A Kanun Tanah Negara bagi tujuan pindah milik tanah dari seorang ahli perniagaan, Liew Weng Chee kepada sebuah syarikat pelaburan iaitu syarikat Diskusi Ariff Sdn Bhd dan satu notis taksiran duti setem pindah milik hartanah nombor 17, Seksyen 57 (nombor geran 58520), Mukim Bandar di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian, Rumah Persekutuan, Jalan Sultan Hishamuddin di sini pada 17 Mei 2007, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian untuk mempercayai bahawa satu Borang 14A Kanun Tanah Negara bagi tujuan pindah milik tanah dari Liew kepada syarikat Diskusi Ariff Sdn Bhd dan satu notis taksiran duti setem pindah milik hartanah nombor 17, Seksyen 57 (no geran 58520), Mukim Bandar di sini adalah tulen sehingga mendorong pegawai dan kakitangan itu untuk memindah milik hartanah itu daripada Liew kepada syarikat Diskusi Ariff Sdn Bhd.

Tersaim didakwa melakukan kesalahan itu di tempat dan pada tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir menawarkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin terhadap Tersaim tetapi peguam Datuk Harpal Singh yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dikurangkan.

Hakim Rozana Ali Yusoff kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Tiada ulasan: