HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 September 2010

Sandiwara "Pulangkan" Banyak Kelemahan

KELAB GREENBOC

Exco Pulau Pinang dakwa ada pihak desak warga emas pulang wang ihsan

GEORGE TOWN — Tindakan sekumpulan warga emas yang memulangkan semula wang bantuan RM100 setiap seorang kepada kerajaan Pulau Pinang hanyalah satu sandiwara, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abul Kassim (gambar).

Beliau berkata, ada kemungkinan warga emas yang memulangkan wang ehsan itu tidak mendaftar lagi dalam sistem yang disediakan oleh kerajaan negeri dan mereka mungkin dipengaruhi oleh sesetengah pihak.

“Mungkin ada pihak yang telah mendesak mereka,” katanya kepada pemberita bagi mengulas tindakan 40 warga emas memulangkan semula wang bantuan daripada kerajaan negeri itu kerana wang itu dikatakan daripada sumber judi lumba kuda.

Isu status wang itu didedahkan oleh sebuah blog yang mendakwa ia dari sumber judi, dan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penerima beragama Islam.

Dipetik Bernama, Abdul Malik sekali lagi mengulangi bahawa wang itu bukan daripada hasil judi, sebaliknya hasil yang diperoleh kerajaan negeri daripada amalan perbelanjaan berhemah sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri.

Kumpulan itu menyerahkan wang berkenaan kepada Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri, semalam.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga berkata, pihaknya menganjurkan majlis tersebut selepas diminta oleh warga emas sekitar kawasan Parlimen Kepala Batas yang mahu memulangkan wang ihsan berkenaan.

“Bukan Umno yang suruh mereka (warga emas) bagi balik duit berkenaan, sebaliknya mereka yang hubungi saya untuk minta pulangkan wang itu kerana tidak sanggup guna wang dari sumber haram,” katanya yang juga Ketua Pembangkang di DUN Pulau Pinang.

Azhar juga berkata lebih ramai warga emas akan berbuat demikian dalam masa terdekat dan pihaknya akan mengumpulkan semua wang tersebut sebelum menyerahkan kepada Pemuda Umno Pulau Pinang untuk dikembalikan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Pemuda Umno negeri mendakwa kerajaan Pulau Pinang menggunakan sumbangan sebuah syarikat perjudian sebagai wang ihsan kepada warga emas negeri itu.

Dakwaan itu berdasarkan sepucuk surat yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program tersebut.

Dalam kenyataannya selepas itu, Lim yang mengakui menerima sumbangan tersebut berkata ia digunakan bagi program membasmi kemiskinan tegar dengan menerimanya adalah bukan Islam, bukan untuk penghargaan warga emas.

Sebelum ini, Abdul Malik menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Pemuda Umno bahawa kerajaan negeri menggunakan hasil sumber judi untuk tujuan pembayaran wang ihsan melalui program penghargaan warga emas.

Katanya, dakwaan sebuah blog dan Pemuda Umno pusat awal bulan ini adalah berdasarkan kepada imaginasi, berniat jahat serta fitnah yang tidak berlandaskan fakta dan kebenaran.

Menurut beliau lagi kerajaan negeri yang mengamalkan amalan berjimat cermat melalui konsep cekap, akauntabiliti dan telus telah berjaya menjimatkan jumlah peruntukkan dalam bajet kerajaan negeri sebanyak RM20 juta bagi program tersebut.

“Daripada peruntukkan yang diberikan kita telah membelanjakan sebanyak RM10.7 juta dan masih mempunyai lebihan RM9.3 juta untuk meneruskan program penghargaan warga emas.

“Suka ditegaskan di sini bahawa wang ihsan tersebut bukan hasil dari sumber judi. Ia adalah hasil dari pungutan cukai tanah serta sumber selain dari judi.

“Kerajaan negeri juga tidak mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan lesen judi sedangkan kerajaan pusat sahaja yang mempunyai kuasa untuk meluluskan semua lesen judi yang ada dalam negara kini,” katanya beliau kepada The Malaysian Insider. -TMI

Ulasan GB

Bila ditinjau gambar duit itu dekat-dekat di dalam tong dan di tangan warga emas itu, kita nampak wang itu semuanya serupa. Note RM50. Seorang dua keping.

Ah, baru keluar dari bank. Siapa punya? Yang pasti semua duit itu dipinjamkan kepada warga emas tersebut kemudian di"pulang"kan kepada tuannya.

Ini kisah Ahmad Nisfu yang ambil balik duit dari "pelakon sementara" di dalam cerita 3 Abdul.

"abdul wahud...abdul wahud...kita nak kasi dia marah...balik-balik kita yang marah....kasi balik duit aku...kasi balik...kasi balik"

Tapi seperti yang GB ulaskan di sini, Kerajaan negeri berhak untuk tuntut RM4 ribu yang kononnya dikatakan dipungut semula dari warga emas tersebut. Kalau pun betul wang itu pungutan dari warga emas, memang wajar YB Penaga itu perlu menyerahkan semula kepada Kerajaan Negeri. Jika tidak YB Penaga itu boleh ditahan dan ditangkap kerana menipu warga emas berkenaan dengan melarikan wang ihsan itu. Kalau wang itu bukan wang ihsan tetapi milik YB Penaga sendiri tetapi cuma dilakonkan saja, dia sepatutnya ditahan juga kerana menipu.

Amacam YB. Ini bab mahu tipu satu Malaysia sudah tahu.

Tapi tropi sandiwara lucu sukar dimenangi sandiwara "Pulangkan" ini. Kelemahannya ketara. Manakala sandiwara "I'da World" lakonan Hang Kebun yang tak bergigi yang serahkan cek replika RM4b di Kelantan rasanya mendapat undi sms terbanyak.

Kata Sudin di dalam Seniman Bujang Lapok: Main-main kasar ..sekali aku cekik…gigi wak mana?...pergi bikin!

Tiada ulasan: