HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 September 2010

Jamil Khir: Institusi Fatwa main peranan penting perkasakan kewangan Islam


jamil-august28 Oleh Qayum Rahman

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, bahawa institusi Fatwa Malaysia memain peranan penting dalam memperkasakan kewangan Islam yang kian berkembang pesat.

Menurutnya, institusi Fatwa ketika ini perlu memperkukuhkan agenda kewangan islam dengan menambahkan ilmu pengetahuan mengenai kewangan melalui dorongan kerajaan yang sentiasa menyediakan forum-forum dan dialog untuk bersama-sama menambah ilmu.

"Institusi Fatwa adalah penting kerana dapat menggariskan panduan tetap mengenai kewangan Islam untuk diguna pakai oleh masyarakat Islam di negara ini.

"Institusi Fatwa ini juga dapat mewujudkan pertumbuhan instrumen-instrumen kewangan Islam yang kreatif dan inovatif kepada bank-bank terkemuka di Malaysia.

"Kita memerlukan ramai ahli perniagaan Islam yang ingin mendalami kewangan islam untuk memastikan Islam akan dapat mendahului pelaburan kewangan di negara ini,"katanya ketika merasmikan program bengkel Eksekutif Kewangan Islam di sini hari ini.

Beliau bersama Pengarah Eksekutif Akademi Penyelidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) Prof Madya Dr Mohammad Akram Laidin turut merasmikan pelancaran Portal E-Muamalat.

Beliau turut berkata, ulama di bawah Institusi Fatwa Malaysia perlu mempelbagaikan bidang pengetahuan mengikut kepakaran agar dapat menepati kehendak semasa.

"Ulama sekarang ini tidak semestinya pakar dalam bidang agama sahaja tetapi juga perlu pakar dalam ilmu falak, fizik, matematik dan sebagainya.

"Pengetahuan pelbagai bidang ini akan menjadikan tokoh Islam negara dicontohi dan lebih dihormati,"jelasnya.

Jamil berkata, kebanyakkan institusi dalam dan luar negara telah mula menawarkan pengajian Islam dengan menggabungkan bidang-bidang lain untuk mengikuti peredaran semasa.

Katanya, selaras dengan matlamat meramaikan modal insan, kerajaan ingin mewujudkan tokoh ulama yang bertaraf ‘Warasatul Anbiya’ untuk menjadikan Islam di negara ini sentiasa kehadapan dalam memajukan agama.

"Tokoh ulama menjadi panduan penting dalam mengeluarkan Fatwa dan kelebihan ini boleh digunakan dalam memperkukuhkan kewangan Islam.

"Sebagai contoh, Institusi Fatwa dapat memberi keputusan tetap mengenai larangan riba, gharar dan sebagainya kepada umat Islam yang kurang memahami mengenai pinjaman kewangan serta yang lain,"ujarnya.

Tiada ulasan: