Oleh Dzulkarnain Taib
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan sikap kuasa-kuasa Barat yang menutup sebelah mata terhadap pemerintahan zalim di beberapa negara yang menindas secara terang-terangan hak asasi manusia atas alasan mempromosi demokrasi.Anwar menyelar sikap ini yang dilihat sebagai hipokrit di mana kuasa Barat menyokong negara yang menindas rakyatnya sendiri tetapi pada masa yang sama mengecam tindakan serupa di negara lain.
"Anda tidak boleh berkata," berikan kami sokongan anda dalam perang melawan terorisme dan kami tidak akan campur tangan dalam hal dalaman anda. Polisi 'anda garu belakang saya, saya garu belakang anda' mungkin bagus untuk diplomasi realpolitik tetapi ia adalah satu pengkhianatan kepada perjuangan menegakkan demokrasi dan kebebasan.
"Malangnya inilah pendekatan bersikap hipokrasi kepada demokratisasi yang kita lihat di kebanyakan negara islam yang hidup dalam merana di bawah sistem demokrasi palsu. Pemerintahan sebegini diselaputi dengan imej demokrasi yang muluk tetapi pada hakikatnya penuh dengan kedurjanaan, kezaliman dan ketidakadilan.
"Demokrasi seperti ini menggunakan seluruh apparatus negara dan mengeksploitasi dana rakyat demi agenda serta kepentingan peribadi mereka. Mereka merompak perbendaharaan negara, merampas kawasan tanah prima dan bernilai tinggi dan menganugerahkannya kepada kaum kerabat, kroni serta mengambil jutaan ekar hutan dara dan mentransformasinya kepada tanah yang kontang dan tidak berguna," kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Why Islam and Democracy are destined to coincide' di Brussels anjuran Friedrich Naumann Stiftung Selasa lalu.
Dalam ucapannya Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempertahankan ideologi Islam yang berteraskan kepada konsep keadilan dan mempromosi keamanan dan perpaduan sejagat.
Beliau mengecam golongan yang menggunakan nama Islam untuk melakukan kezaliman dan penindasan ke atas orang Islam di negara yang kononnya mengaku mengamalkan sistem Islam.
"Mereka yang mengkritik Islam berkata ia bukan sahaja membenarkan malah menggalakkan pengikutnya untuk melakukan keganasan atas nama jihad. Ini pendapat yang mengarut. Mereka turut menggunakan ayat Al-Quran untuk menyokong pendapat mereka. Memang ada, tapi mereka mentafsirnya secara ekstrim. Sebaliknya, hakikat sebenar ialah Islam melarang keganasan dan terorisme kerana ia mendokong prinsip kesederhanaan dan perlindungan nyawa dan keselamatan. Ini tersirat di bawah doktrin maqasid al-Shari’ah, satu instrumen yang amat penting dan signifikan untuk memajukan masyarakat Islam.
"Bagaimanapun ia telah dipinggirkan dan diketepikan. Melalui doktrin ini umpamanya, jihad adalah seruan kepada umat untuk mentaati tiang agama dengan berbuat amalan baik dan menjauhi kemungkaran, menegakkan keadilan, menganjurkan amal jariah dan membantu golongan lemah dan terpinggir.
"Ia bukannya laungan untuk berperang, apatah lagi melakukan kerosakan dan membunuh. Lebih penting, jihad menggalakkan orang Islam mewujudkan keamanan dan melindungi kesucian nyawa dan harta benda. Ini merupakan prinsip yang selari dengan desakan demokrasi," jelas beliau lagi.
Anwar menjelaskan mereka yang menyeru kepada keganasan dan terorisme atas nama jihad tidak mendapat sokongan terhadap aliran Islam yang mereka reka.
Mengambil contoh Indonesia di mana semasa dua pilihan raya umum yang lepas memperlihatkan rakyat negara itu menolak secara mutlak golongan radikal yang menunggangi atas tiket jihad.
Kata beliau, perkembangan ini penting untuk menyanggah pemikiran bahawa demokrasi di dalam negara majoriti orang Islam senang dipengaruhi oleh ekstremis dan radikal.
Malah kata Anwar, Islam menggalakkan umatnya mempertahankan kesamarataan, keadilan dan maruah insan.
Jika keganasan dan terorisme disebar luaskan oleh umat Islam atas nama Islam maka yang dipersalahkan pengikutnya dan bukan agama.
Menyalahkan Islam tidak akan menyelesaikan masalah selagi puncanya tidak diatasi dan diselesaikan.
Tambah Anwar, Turki adalah contoh baik di mana pemimpinnya memegang taat kepada prinsip asas kenegaraan Islam: modernis, sederhana, progresif dan toleransi dengan keadilan dan negara hukum sebagai motto pemerintahan.
Anwar berkata referendum baru-baru ini yang menyokong perubahan asas kepada perlembagaan untuk mengukuhkan demokrasi adalah bukti jelas.
Dalam hal ini pemimpin Turki amat berlawanan dengan pemimpin autokratik dan diktator di sesetengah negara Islam yang terus menafikan rakyat nikmat demokrasi dengan mengamalkan sikap ekstrim.
"Jadi hakikatnya serangan ke atas kebebasan dan demokrasi bukan datangnya dari Islam walaupun kebanyakan yang melakukannya adalah orang Islam. Indonesia dan Turki membuktikan demokrasi bukan sahaja diterima malah amat penting dalam Islam. Sebaliknya musuh Islam bukan dari demokrasi tetapi adalah kezaliman, rasuah, tirani, dan ketamakan.
"Kebebasan dan demokrasi adalah sebahagian daripada kebenaran hakiki yang membezakan antara makhluk di bumi ini. Isu sebenar bukannya Islam dan demokrasi ditakdirkan selari tetapi samada golongan yang berkuasa di negara Islam akan menghormati kebebesan dan demokrasi, memartabatkan undang-undang dan memenuhi tanggungjawab terhadap rakyat. Jika ini tidak berlaku adalah wajib bagi kita merealisasikannya dan itu satu perjuangan yang wajar.
"Kemodenan Islam di Asia Tenggara dicerminkan oleh adaptasi prinsip kebebasan dan demokrasi untuk mewujudkan sebuah negara yang bebas. Dari segi ini peralihan rantau ini kepada demokrasi menyanggah ide Islam dan demokrasi tidak selari.
"Tindakan menyamakan Islam dengan sikap tidak toleransi dan keganasan pun tidak mempunyai asas dalam realiti. Orang Islam memerintah Sepanyol berkurun lamanya dan ini disahkan oleh rekod sejarah sebagai bukti jelas kepada toleransi dan semangat hidup muafakat antara orang Islam, Kristian dan Yahudi.
"Di Asia Tenggara, pedagang dan ahli Sufi menyebarkan agama melalui stail dakwah akomodatif yang menarik minat penganut yang pada masa sama mengekalkan aspek signifikan budaya pra-Islam. Ini menjelaskan bagaimana kepelbagaian budaya dan agama wujud dalam negara bermajoriti Islam," tegas Anwar dalam ucapannya.
Anwar berkata adalah penting merubah kekakuan aliran idealogi yang menjurus kepada persepsi bahawa ajaran Islam adalah kaku dan eksklusif.
Hakikat bahawa Islam mampu mengadaptasi kepada keadaan sekeliling menunjukkan sifat inklusifnya.
" Bagi memastikan negara Islam bergerak ke arah memartabatkan demokrasi berperlembagaan dan menterjemahkannya kepada realiti, adalah penting mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil, memastikan pemisahan kuasa dan menjamin kebebesan hak sivil termasuk membenarkan penglibatan wanita dalam arean politik.
"Pendakwaan bersifat kedengkian, penahanan rambang, dan salahguna apparat negara untuk mengekang musuh politik mestilah dihapuskan. Reformasi ini mesti dilaksanakan, jika tidak harapan pertembungan Islam dan demokrasi hanyalah satu fatamorgana," kata Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan