PASIR MAS — Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh membuat tafsiran baru berkaitan hukum halal dan haram semata-mata demi menjaga hati DAP dan pada masa sama mendapatkan sokongan rakyat.
Bekas perdana menteri itu berkata selain Nik Aziz, pemimpin parti Islam itu sanggup melakukan apa sahaja untuk dapatkan sokongan.
“Ada pemimpin Melayu cakap mereka bukan orang Melayu tapi orang Islam. Itu tidak mengapa tetapi yang jadi persoalan kenapa hal berkaitan Islam diketepikan.
“Kalau mengakui diri adalah Islam jadi berlagaklah seperti orang Islam tapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.
“Nik Aziz boleh halalkan segala-galanya, malah beliau juga boleh buat tafsiran baru berkaitan hukum halal dan haram,” katanya ketika berucap pada program Perhimpunan Melayu Perkasa Kelantan yang dihadiri kira-kira 5,000 orang di pekarangan Stesen Keretapi Pasir Mas.
Buat pertama kali Dr Mahathir (gambar) datang ke Kelantan hari ini setelah insiden beliau disembur cecair di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, empat tahun lalu.
Dr Mahathir yang diiringi oleh isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali datang ke negeri ini untuk menghadiri perhimpunan Perkasa.
Beliau tiba di majlis itu dengan memakai kain lilit di kepala bewarna kuning dengan corak bunga padi serta mengenakan selempang merah di bahunya.
Kali terakhir Dr Mahathir datang ke Kelantan ialah pada 2006.
Pada lawatan itu, Dr Mahathir telah disembur dengan cecair yang merbahaya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada pukul 11 pagi, 28 Julai 2006.
“Pemimpin PAS sudah ketepikan agama, malah bangsa sendiri juga dilupakan.
“Sebagai contoh isu ternak babi, Nik Aziz cakap tidak ada masalah kalau nak ternak babi kerana dalam Islam tidak larang, yang haram adalah makan babi.
“Semua yang dilakukan ini semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat sahaja,” kata Dr Mahathir yang juga penaung Perkasa.
Beliau juga memberikan amaran kepada rakyat terutamanya di Kelantan supaya mengenali latar belakang pemimpin mereka sebelum menyesal.
“Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang membela dan mengikut kehendak rakyat bukan pemimpin yang gila nak jadi perdana menteri.
“Pemimpin-pemimpin yang gilakan kuasa ini boleh menyebabkan orang Melayu terpecah kepada 10 puak,” katanya.
Bekas presiden Umno itu juga mendakwa PAS menyertai PR adalah semata-mata untuk menang dalam pilihan raya.
“Parti yang berada dalam PR bergabung hanya untuk menang pilihan raya dan dapatkan kuasa.
“Semua orang tahu dasar setiap parti itu (PAS, PKR dan DAP) berbeza. Dasar perjuangan mereka tidak sama, jadi rakyat perlu tahu jenis pemimpin mereka,” katanya.
Dr Mahathir juga menjelaskan matlamat perjuangan PKR adalah bukan untuk rakyat tetapi adalah memastikan pemimpin mereka menjadi perdana menteri.
“Objektif PKR adalah nak pemimpin mereka jadi perdana menteri bukan untuk rakyat dan memastikan hak rakyat stabil.
“Apa yang penting bagi mereka adalah pemimpin mereka boleh jadi perdana menteri dan mereka sanggup lakukan apa sahaja bagi memastikan hasrat itu tercapai,” katanya.
Dalam kenyataan terbaru minggu ini, Dr Mahathir berkata, orang Melayu akan kehilangan kuasa jika PR mengambil alih pemerintahan negara ini.
Beliau mendakwa apa yang dinyatakan itu bukan satu igauan tetapi telah menjadi kenyataan kerana perkara itu sudah pun berlaku di negeri diterajui PR walaupun ketua pentadbiran di negeri itu di ketuai orang Melayu.
Sebelum ini Dr Mahathir pernah mengatakan bahawa orang Melayu akan menjadi kaum minoriti dari segi politik jika PR berkuasa.
Beliau juga menasihati pemimpin-pemimpin Umno supaya tidak mengetepikan individu berkebolehan yang dapat menyumbang kepada kekuatan parti hanya semata-mata takut kedudukan sendiri tercabar.
“Ini masalah Umno, kerana takut kedudukan sendiri dicabar mereka yang berkebolehan diketepikan sebab itu ramai yang masuk PAS.
“Jadi Umno perlu ubah semua ini demi kebaikan parti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan