KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang akan mengeluarkan geran hak milik kekal kepada penduduk di negeri itu yang telah tinggal antara 40 hingga 50 tahun di atas tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (LPS).
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata bagaimanapun status hak milik itu hanya dikeluarkan bagi tanah yang bertaraf kediaman.
"Saya diberitahu oleh wakil-wakil rakyat masih ada lagi kawasan di semua daerah yang Lesen Pendudukan Sementara untuk perumahan telah sebegitu lama dan kerajaan telah memutuskan LPS tersebut akan digantikan dengan status hak milik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek East Coast Auto City (ECAC), di sini, Isnin.
Katanya kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk memberikan hak milik tanah itu bagi tempoh selama 60 tahun atau 99 tahun.
Dalam perkembangan lain, Adnan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan berhubung aktiviti mencuri pasir yang turut berlaku di Pahang.
"Kita bukan tahu, orang mencuri (pasir), saya ucap tahniah dan terima kasih kepada SPRM dan berharap mereka akan jalankan tugas tanpa gangguan untuk memastikan kecurian pasir ini tidak berleluasa," katanya.
Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali sebelum ini berkata Malaysia akan menanggung kerugian kira-kira RM157.5 juta setahun sekiranya aktiviti kecurian pasir tidak terkawal dan terus berleluasa.
Mustafar juga dilpaor berkata setakat ini, 49 individu telah ditahan pada tahun ini kerana terlibat dalam sindiket kecurian pasir di Selangor, Johor, Pahang dan Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan