NEW YORK — Presiden Barack Obama yang cuba memikirkan inisiatif segera yang boleh dilaksanakan Amerika Syarikat bagi menjalin hubungan akrab di rantau Asia Tenggara, dengan menoleh kepada Datuk Seri Najib Razak. Perdana Menteri lantas menyarankan Program Sukarelawan Amerika Syarikat tajaan negara itu yang begitu popular pada tahun 1960-an untuk membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan masyarakat Asean.
Obama sekaligus tertarik dengan pandangan Perdana Menteri malah menjelaskan bahawa ibunya, mendiang Ann Dunham pernah menjadi guru bahasa Inggeris.
Mendiang ibu Obama dilaporkan pernah mengajar Bahasa Inggeris semasa di Indonesia.
Program Sukarelawan Amerika Syarikat (American Peace Corps) mengandungi tiga hasrat: menyediakan bantuan teknikal, membantu rakyat di luar Amerika Syarikat memahami budaya negara itu dan membantu rakyat Amerika Syarikat memahami budaya negara lain.
“Saya kata kini ada peluang untuk dilaksanakan semula Sukarelawan Amerika Syarikat tetapi dikhususkan untuk pengajaran Bahasa Inggeris,” kata Najib (gambar).
Perdana Menteri menceritakan kepada wartawan Malaysia mengenai pertanyaan Obama kepada beliau mengenai inisiatif yang mungkin boleh dilakukan dalam jangka pendek dengan segera tanpa melibatkan agenda yang rumit.
Soalan itu diajukan oleh Obama ketika mempengerusikan Mesyuarat Asean-Amerika Syarikat kedua yang dihadiri lapan ketua kerajaan Asean di New York pada Jumaat.
Mesyuarat itu dipanggil oleh Obama ketika pemimpin-pemimpin Asean berkunjung ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unga) bermula Khamis lepas.
Obama yang menghadiri mesyuarat pertama di Singapura tahun lepas dilihat sedang berusaha mendekatkan Amerika Syarikat dengan negara-negara Asia Tenggara yang mempunyai potensi perdagangan yang besar selain usaha mengembangkan pengaruh negara maju itu untuk kepentingan lain terutama dalam aspek keselamatan.
“Presiden Obama telah memberi respons yang begitu positif, dia kata dia dapat memahami perkara ini kerana secara peribadi ibunya dulu merupakan guru bahasa Inggeris.
“Jadi dia mempunyai pengalaman sendiri yang begitu mendalam dan nampaknya mendapat sambutan,” kata Perdana Menteri.
Pada mesyuarat dua jam itu, Najib duduk tidak jauh dari Presiden Amerika Syarikat itu, yang diselangi antara keduanya Presiden Filipina Benigno Aquino III.
Antara lain yang hadir ialah Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen dan Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei.
Menurut Najib, beliau tidak pasti bentuk program yang akan dilaksanakan tetapi Malaysia bersedia membiayai sebahagian program untuk mendapatkan guru-guru berkelulusan dari Amerika Syarikat bagi mengajar Bahasa Inggeris.
April lepas, Najib mengadakan perbincangan selama 40 minit dengan Obama di Washington sebelum menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear.
Mengenai hubungan Asean dan Amerika Syarikat, Najib berkata negara kuasa besar itu menyedari betapa perlunya menggariskan strategi mereka bagi membolehkannya memainkan peranan bermakna di Asia Tenggara.
Kini saluran Amerika Syarikat untuk bekerja lebih rapat dengan kerajaan di rantau itu terbuka lebih luas setelah kumpulan 10 negara itu menerima Amerika Syarikat dan Rusia sebagai rakan anggota Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) pada mesyuarat tahun depan di Vietnam.
Najib berkata Malaysia berharap Amerika Syarikat memainkan peranan dalam bidang yang negara itu mempunyai kelebihan seperti bidang sains dan teknologi, pendidikan, banteras keganasan dan keselamatan maritim.
Perdana Menteri menyifatkan hasrat pentadbiran Obama untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama dengan kerajaan di Asia Tenggara sebagai mengiktiraf kepentingan Asean, terutama pertumbuhan pesat ekonomi di rantau itu.
Amerika Syarikat juga dilaporkan mahukan keselamatan maritim di wilayah itu terutama Laut China Selatan terjamin kerana ia merupakan laluan utama perdagangan antarabangsa.
Sebelum mesyuarat Asean-Amerika Syarikat itu, Najib mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden Filipina Benigno Aquino III dan Presiden Sri Lanka Mahinda Rajapaksa.
Semasa pertemuan dengan Presiden Aquino, Najib menjemput Presiden Filipina itu melawat Malaysia.
Najib berkata pemimpin Filipina itu berharap Malaysia terus menjadi fasilitator bagi rundingan untuk penyelesaian politik di Mindanao, selatan negara itu.
Perdana Menteri seterusnya mencadangkan kerajaan Filipina mewujudkan sebuah pejabat konsul Filipina di Sandakan, Sabah.
Rajapaksa pula berharap pelabur Malaysia menceburi lebih banyak bidang di Sri Lanka terutama dengan keadaan keselamatan yang baik di negara tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan