HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 September 2010

Pemimpin UMNO lah yang menghilangkan kuasa dan suara orang Melayu - Islam

http://buletinonline.net/images/stories/berita34/TGHA.jpg
BULETIN ONLINE

Pandangan Tun Dr Mahathir Mohammad yang disokong oleh beberapa pimpinan UMNO lain bahawa orang-orang Melayu akan kehilangan kuasa dan 'suara' jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pemerintahan negara adalah merupakan suatu pandangan yang tidak berpijak di bumi kenyataan dan igauan takutkan kekalahan kerana dibejati kesalahan-kesalahan yang dilakukan semasa memimpin negara.

Semuanya ini telah sekali lagi diulang sebut pada saat UMNO berada dalam keadaan yang paling parah dari segi politiknya. Sejarah sekali-kali tidak boleh menafikan bahawa UMNO adalah parti warisan yang meneruskan agenda penjajah dengan melaksanakan ideologi yang boleh melemahkan umat Islam disamping mereka juga tidak boleh dijadikan contoh yang baik terhadap masyarakat majmuk dalam negara kita ini. Pimpinan UMNO jugalah yang terus menerus melebarkan pandangan masyarakat dijalur perkauman sempit. Kemajmukan masyarakat dalam negara kita ini sepatutnya dijadikan satu asas untuk membina negara Malaysia yang hebat dan dalam masa yang sama menunjukkan contoh model keadilan Islam yang sebenar.

Tetapi UMNO telah gagal dalam memikul amanah rakyat ini. Akibatnya orang Melayu yang mendapat majoriti besar dalam pilihanraya tetapi gagal untuk memartabatkan Islam yang menjadi agama persekutuan dalam negara kita ini. Pimpinan UMNO dan BN telah menunjukkan pelbagai contoh kepimpinan yang merosakkan imej Islam dengan berlakunya ketidakadilan dalam masyarakat, penyelewengan dan rasuah dari puluhan hingga ke jutaan ringgit serta meneruskan amalan demokrasi yang pincang.

Semuanya ini telah menyebabkan berlakunya pelbagai penindasan dan kezaliman terhadap orang Melayu-Islam dalam negara kita sendiri. Tentu kita tidak lupa bahawa pimpinan UMNO lah yang menyebabkan hilangnya kuasa politik Islam di Singapura. Sikap songsang mereka ini juga dapat dilihat apabila kerajaan BN pimpinan UMNO yang telah memerintah Pulau Pinang selama puluhan tahun sehingga meninggalkan suasana politik buruk yang menghakis masyarakat Melayu-Islam di sana, tetapi tanpa segan silu pimpinan UMNO ini cuba menyalahkan Pakatan Rakyat yang hanya berusia dua tahun.

Kita juga tidak sekali-kali akan lupa bahawa diskriminasi politik dilaksanakan secara pecah perintah oleh UMNO yang memerintah di Kerajaan Persekutuan terhadap orang Melayu-Islam di Terengganu, Kelantan dan Kedah dalam isu pemberian subsidi baja, perampasan royalti minyak di Terengganu dan menafikannya di Kelantan, penyusutan tanah wakaf di Pulau Pinang dan kegagalan mengendalikan tanah rezab Melayu, pemberian geran tanah yang dijadikan ugutan untuk memperolehi undi, penafian peluang biasiswa pendidikan dan peluang perniagaan yang disekat serta pelbagai lagi penindasan yang dilakukan terhadap orang Melayu-Islam di bawah semata-mata kerana mereka yang mempunyai pendirian politik yang berlainan dengan UMNO. Bukankah mereka ini juga orang Melayu-Islam ?. Kita ingin bertanya : Mana ia suara bahawa UMNO membela Melayu-Islam ?.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan ini mengajak seluruh orang Melayu-Islam yang bimbang dengan kedudukan mereka agar dapat berfikir dengan rasional dan fakta yang jelas, bahawa UMNO-BN akan sekali lagi berlaku curang terhadap mereka.

Marilah bersama dengan gagasan baharu bahawa PAS perlu menggantikan UMNO sebagai teras politik Melayu-Islam dalam negara kita ini.

Kepada seluruh rakyat dalam negara kita ini, tinggalkanlah BN dengan bersama membuat perubahan bersama PAS dalam Pakatan Rakyat ke arah Malaysia yang lebih adil dan sejahtera.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Tiada ulasan: