KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak dengan kos permohonan empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mencabar Seksyen 15(5)(A) Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang dikenakan terhadap mereka.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Datuk Aziah Ali dalam kamarnya kira-kira pukul tiga petang tadi.
Peguam mewakili empat pelajar UKM, Haris Ibrahim ketika ditemui pemberita berkata, hakim dalam keputusannya mendapati Seksyen 15 (5) (A) AUKU tidak bercanggah dengan Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai hak kebebasan bersuara.
Berikutan itu, hakim turut memutuskan 7 Oktober depan sebagai tarikh pendengaran hujah injuksi erinford (sementara) yang dikemukakan pihak plaintif bagi menyekat pihak sebelah (UKM) terus mengenakan tindakan disiplin terhadap empat pelajar terbabit sementara menunggu rayuan difailkan.
"Pendengaran injuksi erinford tidak dapat diteruskan hari ini kerana peguam mewakili UKM Datuk Shafie Abdullah tidak dapat hadir ke mahkamah kerana tidak sihat.
"Jadi defendan sebentar tadi memberi jaminan kepada hakim bahawa korum barisan peguamnya akan dapat dipenuhi pada Jumaat depan," katanya.
Pada 23 April lalu, empat pelajar tahun akhir Sains Politik UKM tersebut Hilman Idham bersama Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai serta empat aktivis luar lain ditahan dalam sekatan jalan raya sekitar kira-kira pukul 10 malam.
Polis menjumpai sekeping video cakera padat (VCD) ceramah oleh parti politik.
Kesemua pemimpin Kelab Sains Politik UKM itu kemudiannya menerima surat pertuduhan daripada mahkamah UKM pada 13 Mei lalu menyatakan mereka akan didakwa bawah Seksyen 15 (5) AUKU yang berbunyi:
"Tiada seorang pun pelajar universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut perlembagaan boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap – (a) mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia".
Mereka bagaimanapun, menafikan tuduhan itu dan mendakwa berada semasa pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor berlangsung itu adalah untuk tujuan kajian penyelidikan akademik.
Turut mewakili pelajar terbabit peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Ashok Kandiah.
Sementara itu, Hilman yang ditemui sebaik sahaja selesai perbicaraan berkata walaupun permohonan mereka ditolak tetapi ia tidak akan melunturkan semangat mereka untuk terus berjuang bagi memastikan AUKU dimansuhkan.
"Hari ini mahkamah menetapkan bahawa permohonan untuk mencabar AUKU telah ditolak namun kami akan tetap teruskan perjuangan ini.
"Ini adalah satu titik permulaan bagi mahasiswa untuk terus bersemangat dan berjuang bagi memastikan AUKU ini dimansuhkan demi masa depan negara.
"Ini kerana ia melibatkan masa depan negara dan pendidikan merupakan asas kemajuan negara, jadi AUKU ini perlu dimansuhkan," katanya.
Kira-kira 100 penyokong daripada Solidariti Mahsiswa Malaysia (SMM), Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) turut hadir dan berhimpun secara aman diluar perkarangan mahkamah bagi memberikan sokongan moral
Tiada ulasan:
Catat Ulasan