HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 September 2010

Usaha Naikkan Tarif Air Hanya Rugikan Rakyat : Tan Sri Khalid



SELANGOR KINI

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengkritik tindakan pihak-pihak yang cuba untuk menaikkan tarif air di Selangor bagi memastikan prestasi kewangan syarikat berkenaan selamat sedangkan bebannya ditanggung rakyat.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pembukaan ‘Penstrukturan Semula Industri Air Selangor’ di Sidang Kemuncak Air dan Utiliti Kebangsaan 2010 di Hotel Istana di sini, anjuran Asian Strategy & Leadership Institute(ASLI).

Tan Sri Khalid berkata, ada pihak mengatakan bahawa tarif air yang rendah memberi manfaat kepada pengguna yang kaya dan bukan yang miskin.

Bagaimanapun dalam kes Selangor tujuan kenaikan tarif tidak ada pertimbangan sosial diambil kira.

“Malah, Datuk Peter Chin selaku menteri bertanggungjawab menyebut bahawa tarif ini perlu dinaikkan untuk memastikan prestasi kewangan syarikat swasta selamat. Dengan itu, ia secara langsung juga memaksudkan bahawa kerajaan persekutuan membenarkan beban kelemahan operasi syarikat swasta ini dipindahkan kepada rakyat,” katanya.

Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan kerajaan pusat pada dasarnya bersetuju menaikkan tarif air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) antara 15 dan 20 peratus.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan bahawa keputusan itu belum mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri Selangor seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian konsesi.

SYABAS akan menaikkan tarif air sebanyak 37 peratus dalam tahun kewangan 2009, namun tindakan ini mendapat tentangan keras daripada kerajaan negeri.

Tambah Tan Sri Khalid pemberian air 20ml percuma kepada rakyat Selangor tidak bermaksud membawa pembaziran.

“Faktanya, pengenalan 20 meter padu air percuma kepada rakyat Selangor menunjukkan bahawa ia tidak mendorong kepada peningkatan penggunaan air, sebaliknya berjaya mengurangkannya,” ujarnya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Selangor menyatakan bersedia dan telah pun berunding dengan kerajaan persekutuan berkenaan isu air namun keputusannnya mengecewakan.

“Namun apa yang didapati daripada sejumlah mesyuarat ini hanyalah peningkatan harga dari satu mesyuarat ke satu mesyuarat, berkemungkinan untuk cuba memenuhi kehendak mana-mana syarikat.

“Saya secara peribadi sangat tidak selesa dengan peningkatan harga ini, di mana syarikat ini terus hidup dengan biaya rakyat,” ujar Tan Sri Khalid dihadapan kira-kira 200 hadirin.

Tiada ulasan: