Dalam menggunakan hak saya untuk membalas dan untuk mempertahankan diri saya, sila jangan membuat tafsiran bahawa saya cuba untuk mengelak kritikan terhadap diri saya. Saya sememangnya berhadapan dengan kritikan-kritikan sejak sekian lama pembabitan saya dalam politik dan saya masih berdiri di mana saya berada sekarang.
Saudara Utusan menulis bahawa dia menerima banyak SMS untuk menjustifikasikan yang dia menerima sokongan terhadap artikel mengenai diri saya (minggu lalu). Saya tidak mahu bercakap mengenai SMS dan emel-emel yang saya terima kerana dia tidak berupaya untuk mengesahkannya, tetapi saya pasti dia juga telah dimaklumkan bahawa komen-komen yang dinukilkan oleh orang ramai yang membaca portal, menunjukkan saya juga menerima banyak sokongan daripada rakyat, sebagaimana dia mendakwa menerima dalam jumlah yang banyak.
Mengapa tidak boleh saya menyifatkan anda sebagai rasis apabila anda kelihatan kecewa dengan pujian dan respons-respons positif yang saya terima daripada bukan Melayu dan cuba untuk meletakkannya sebagai negatif terhadap diri saya, khususnya yang datang daripada Kit Siang dan Guan Eng. Dengan berbuat demikian, anda dengan jelas meletakkan diri anda sebagai, kita orang Melayu, menentang bukan Melayu. Adakah hanya komen dan pujian orang Melayu perlu diambil kira dan yang lain-lain pula diketepikan, atas alasan yang sendiri yang tahu. Anda mempunyai perjalanan yang begitu jauh untuk menerima bahawa Malaysia adalah sebuah negara milik rakyat Malaysia yang terdiri daripada semua kaum, yang menzahirkan kesetiaan mereka kepada tanah lahir mereka ini.
Sememangnya saya adalah betul apabila bercakap mengenai pengalaman sifar anda dalam politik kerana anda menulis “apabila Melayu tidak mengundi”. Biar saya menyebut bahawa analisis anda menunjukkan bahawa “apabila bukan Melayu tidak mengundi”, kesannya adalah sama. Anda tidak faham langsung apa yang cuba saya terangkan iaitu “apabila majoriti rakyat Malaysia tidak mengundi”, maka kita semua berhadapan dengan masalah.
Salah satu perkara yang paling buruk untuk dilakukan ialah memberi alasan-alasan terhadap kegagalan anda dengan mengatakan yang lain juga gagal berbuat demikian. Ini adalah sikap mengaku kalah dan pastinya menganggap sebagai satu takdir. Mengapa tidak anda melihat di sekitar anda dan saya pasti bahawa anda boleh mengenal pasti akhbar-akhbar yang telah berjaya dan menggunakannya sebagai contoh untuk berusaha menaikkan bilangan pembaca akhbar anda. Saya suka mengikuti akhbar Utusan yang lama dan saya mahu anda bekerja keras ke arah menjadikananya akhbar yang gemilang semula.
Saya amat gembira dengan sokongan anda kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) dan bagi memastikan kami boleh berjaya. Saya mahu anda menunaikan apa yang anda perkatakan dan menyokong dasar 1 Malaysia, yang merupkan ilham Perdana Umno dan Pengerusi BN. Beliau berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang, maka janganlah mencetuskan suasana yang sukar buat beliau.
Awang tidak perlu memberitahu saya mengenai kedudukan Utusan sebagai sebuah Institusi Melayu dan perjuangannya sama seperti Umno. Sebelum anda menyertai Utusan, saya telah berada dalam Pemuda Umno, bermula sebagai anggota Exco sehingga sebagai Timbalan Ketua dan sebagai Pemangku Ketua Pemuda Umno pusat untuk satu tempoh selama satu setengah tahun. Ini adalah bukti kelayakan saya. Jika saya berada sebagai seorang pemimpin Malaysia pada hari ini, banyak kredit harus dihulurkan kepada Tun Mahathir. Kerana beliau saya berada di sini seperti hari ini dan banyak terhutang kepada beliau. Saya hanya mahu “sifu” saya terus membantu saya dan kepada yang lain-lain agar menjadi pemimpin yang baik di negara bertuah ini dan tidak membezakan negara ini hanya kerana kaum, kepercayaan, agama dan gender. Untuk menjadi seorang rakyat Malaysia tidak semestinya anti-Melayu. Saya berharap yang ini akan difahami oleh semua.
Akhirnya, dalam usaha menyebarkan mesej kepada publik sebagaimana didakwa oleh Awang, adalah penting mesej-mesej anda keluar dengan jelas dan terang buat mereka. Ini kerana anda tidak boleh dipanggil setiap kali untuk membuat penjelasan. Yang perlu anda ingat sepanjang masa ialah bukannya apa yang anda fikirkan perlu, tetapi apa yang khalayak membuat tanggapan tentang anda. Sedih untuk diperkatakan di sini bahawa bukan Melayu menganggap Utusan sebagai rasis. Dan, itu sebabnya saya membawa isu saya rakyat Malaysia terlebih dahulu dan orang Melayu kemudian, sekiranya anda tidak faham apa sebabnya.
Apa pun Awang, saya tidak tahu siapa anda sebenarnya.
* Surat ini oleh Datuk Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz adalah untuk membalas tulisan Awang Selamat yang bertajuk “Lagi Jawapan buat Nazri Aziz” yang diterbitkan oleh Mingguan Malaysia hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan