Ditulis oleh Radzi Razak
KUALA LUMPUR : Satu laporan Polis dibuat Angkatan Muda Keadilan (AMK) terhadap pengerusi Pengerusi Kumpulan Pendesak Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali kerana membuat kenyataan berunsur menghasut dan berbaur perkauman dalam satu acara di Kampung Baru Ahad lalu.
Bagaimanapun menurut Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Arip, AMK tidak mahu Ibrahim dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) atau Akta Hasutan kerana yakin ianya hanya publisiti murahan Ibrahim selain bertentangan dengan pendirian Pakatan Rakyat mengenai ISA.
Sebaliknya Rozan menyatakan laporan AMK mahukan Ibrahim disiasat di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan.
"Kami ingin menegaskan AMK menolak sebarang tindakan perundangan yang menggunakan Akta Hasutan dan ISA kerana ia bercanggah dengan perjuangan kami untuk hapuskan ISA dan kami yakin ini niat jahat dan publisiti murahan Ibrahim sebenarnya mahu ditangkap (di bawah ISA) untuk cuba menjadi hero Melayu," tegas beliau di hadapan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini, hari ini.
Seksyen 505 (c) menyatakan bahawa sebarang kenyataan yang menimbulkan kekacauan dengan niat untuk yang boleh mengajak atau menghasut mana-mana kelompok masyarakat untuk melakukan kesalahan jenayah kepada kelompok masyarakat lain boleh membawa hukuman penjara 2 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Pada pelancaran perhimpunan gerakan Anti Bersih di Kelab Sultan Sulaiman Kampung baru ahad lalu, Ibrahim Ali menegaskan perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.
Beliau menyatakan kaum Cina perlu menyimpan bekalan makanan kerana 'apa sahaja boleh berlaku'.
Ibrahim turut mendakwa pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan sebagai Ejen Yahudi dan 'Wanita Hindu yang bahaya.'
Timbalan Ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainuddin menyatakan betapa beliau mewakili anak muda di AMK malu dengan kenyataan Ibrahim yang juga merupakan seorang Ahli Parlimen yang mewakili rakyat pelbagai bangsa.
"Kami yang berbangsa Melayu dan anak muda berasa malu dan kecewa dengan kenyataan Ibrahim Ali dan kami tak tahu bagaimana nak menjawab kepada kawan kawan kami yang berbangsa lain.
"Kita buat laporan polis bukan kerana takut Ibrahim Ali atau perkasa. Kita buat untuk nyatakan bahawa pandangan Ibrahim bukan mewakili pandangan majoriti anak muda dan rakyat Melayu. Anak muda khususnya mempunyai toleransi tinggi dan menghulurkan tangan kepada kaum lain," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan