HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Jun 2011

MB: Selangor kaji saman balas Alam Flora

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Selangor mempertimbangkan kemungkinan menyaman balas Alam Flora Sdn Bhd yang memfailkan semakan kehakiman terhadap kerajaan negeri itu, Majlis Exco Kerajaan Selangor dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

Semakan kehakiman itu dibuat bagi mencabar keputusan kerajaan Selangor yang meminta semua sembilan PBT di negeri itu mengambil alih kerja-kerja pembersihan kecuali pengurusan sisa pepejal yang diberikan kepada Alam Flora.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata dalam tindakan berkenaan, Alam Flora telah mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang kerajaan negeri dan PBT daripada meneruskan proses tender bagi kerja-kerja pembersihan.

“Kerajaan Selangor menganggap tindakan Alam Flora itu adalah berniat jahat,” kata beliau dipetik Bernama Online selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco hari ini.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan lewat petang ini, kata beliau, kerajaan Selangor kesal dengan tindakan Alam Flora memfailkan semakan kehakiman.

“Dalam tindakan tersebut, Alam Flora telah mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan daripada meneruskan proses tender bagi kerja-kerja pembersihan.

“Kerajaan Selangor telah mendapat nasihat guaman dan percaya Alam Flora tidak mempunyai alasan bagi mendapatkan semakan kehakiman dan kita akan melaksanakan langkah-langkah perlu bagi mengetepikan permohonan yang akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam tersebut serta membatalkan perintah penangguhan pelaksanaan,” katanya.

Khalid juga berkata “kami juga sedang mempertimbangkan untuk memfailkan saman balas terhadap Alam Flora kerana kerajaan negeri berpendapat tindakan Alam Flora berniat jahat serta mahu menggagalkan usaha-usaha kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan yang lebih berkesan kepada pembayar cukai.”

Kerajaan negeri dengan dibantu oleh Penasihat Undang-undang Negeri telah melantik pasukan peguam yang terdiri dari Tetuan Fernandez & Selvarajah bagi mewakili Kerajaan Negeri dan Majlis Mesyuarat Exco Kerajaan Selangor (MMKN) dan Dato Dr Cyrus Dass dari Tetuan Shook Lin & Bok mewakili kesemua PBT dengan dibantu oleh En Cheong Kee Fong dari Tetuan Cheong Kee Fong & Co yang akan memberi khidmat konsultasi mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan Selangor komited untuk memberi perkhidmatan yang telus, adil dan bertanggungjawab dengan memberi keutamaan kepada kepentingan pembayar cukai,” katanya lagi.

April lalu, Khalid mengumumkan kerajaan Selangor memutuskan untuk menyerahkan semula pengurusan pembersihan kepada sembilan PBT, kecuali pengurusan sisa pepejal yang diberikan kepada Alam Flora.

Beliau berkata kerajaan negeri berpendapat dua tugas yang dikendalikan Alam Flora iaitu menguruskan pembersihan di kawasan awam dan pengurusan sisa pepejal, adalah terlalu berat.

Katanya, pembahagian tugas antara Alam Flora dan sembilan PBT itu akan menjimatkan 10 peratus daripada kos pengurusan pembersihan.

Tiada ulasan: