HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Jun 2011

Tahan Penjual Baju Bersih 2.0 Langgar Hak Asasi-Shamsul

Ditulis oleh Salmiah Drahsin



SHAH ALAM : Tindakan polis menahan dan mengambil keterangan ahli jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi kawasan Gombak , Razali Ghafar kerana menjual baju yang mempunyai logo Bersih 2.0, diselar ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Menurut Shamsul, tindakan polis mengambil keterangan Razali kerana menjual baju T berkenaan di sekitar Kajang malam tadi menyalahi undang-undang.

Malah tambahnya, apa yang lebih menghairankan, soalan yang diajukan polis kepada Razali lebih kepada siapa yang bertanggungjawab di sebalik himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini.

" Maklumat yang beliau beritahu saya, soalan polis lebih kepada siapa yang (lagi) jual, siapa yang beri baju Bersih, siapa yang suruh jual. Pertanyaan polis lebih menjurus untuk mencari siapa di sebalik penganjuran Bersih ini?,"katanya kepada Tv Selangor.

Difahamkan Razali ditahan ketika sedang berniaga dan dibawa ke Balai Polis Sungai Merab untuk diambil keterangan beliau.

Beliau hanya dibebaskan kira-kira jam 1 pagi tadi.

" Ini satu perkara yang bercanggah dengan prinsip undang-undang dan perlembagaan kerana tidak ada satu kesalahan pun menjual baju dalam konteks undang-undang negara kecualilah kalau baju tersebut ada unsur lucah dan sebagainya,"tambah Shamsul lagi.

Ditanya apakah ada tindakan susulan akan dibuat oleh AMK berhubung penahanan itu, menurut Shamsul pihaknya akan menunggu dan mengkaji dahulu tindakan-tindakan yang diambil oleh agensi kerajaan seperti polis yang dilihat cuba menakutkan rakyat akan himpunan aman itu.

Walau bagaimanapun, pihaknya akan terus menggerakkan kempen secara agresif sebagai 'acara memanaskan badan' apabila menjemput seluruh rakyat Malaysia memakai pakaian kuning pada 25 Jun dan 2 Julai ini.

" Setakat ini kita sedang teliti dahulu tindakan yang akan kita ambil tapi setakat ini kita akan gerakkan dahulu kempen secara angresif untuk menyedarkan rakyat sehingga ke akar umbi termasuk menyarankan mereka untuk memakai baju berwarna kuning," katanya.

Tiada ulasan: