Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong berkata, simpanan air empangan-empangan di Selangor masih di tahap tinggi, berdasarkan laporan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
“Mengikut LUAS, kedudukan tahap air simpanan empangan pada 21 Jun 2011 ialah empangan Sungai Selangor pada tahap 98.81 peratus dan Sungai Tinggi pada tahap 99.17 peratus.
Kedua-dua empangan ini menjadikan 60 peratus sumber air bekalan air minum ke Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya).
Empangan Sungai Batu pada tahap 100 peratus, Empangan Klang Gate pada tahap 100 peratus, Empangan Sungai Semenyih pada tahap 100 peratus, Empangan Sungai Langat pada tahap 100 peratus, Empangan Tasik Subang pada tahap 96.88 peratus, katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Tambahnya, kenyataan dari Syabas yang menyalahkan perundingan penstrukturan semula aset air adalah tidak tepat.
Katanya, penswastaan aset air telah dilaksanakan sejak tahun 1997 dan sejak daripada itu Syabas tidak menjalankan kerja-kerja menaik taraf loji-loji perawatan air yang sepatutnya.
“Pada hari ini, perundingan dengan kerajaan negeri senang-senang digunakan sebagai alasan menghalang syarikat swasta tersebut dari menaik taraf infrastrukturnya. Sepatutnya kerja-kerja ini dibuat sebelum daripada ini,” katanya.
Beliau juga menyeru agar Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau menilai semula kecekapan dan keupayaan Syabas dalam pengurusan sistem bekalan air kepada penduduk negeri yang paling maju di Malaysia.
Katanya, kerajaan negeri akan tetap berusaha memastikan bekalan air yang diberi mencukupi kepada semua.
“Pada tahun ini, kami telah memeriksa dan memastikan semua empangan dalam keadaan yang baik dan cukup untuk membekalkan sumber air kepada semua loji-loji pembersihan air di Selangor.
“Kerajaan negeri juga telah membuat persediaan untuk menangani masalah sekiranya jangkaan musim kering atau fenomena El-Nino melanda Malaysia,” ujarnya.
Sebelum ini Syabas mengumumkan gangguan bekalan air kini berlaku di beberapa daerah di Selangor dan dilaporkan berlanjutan selama tiga hari dan akan menjejaskan seramai sejuta penduduk di daerah Petaling, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Lumpur.
Syabas juga memberitahu gangguan air berlaku adalah disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan dan ia juga berpunca akibat perundingan penstrukturan semula aset air dengan kerajaan negeri Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan