Oleh: Nur Nabihah Hamid
KUALA LUMPUR: Pengarah Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said berkata, peneroka Felda perlu bangkit dan sedar tentang penipuan yang dilakukan kerajaan BN.
Ini kerana agensi kerajaan seperti Felda yang sepatutnya membela dan menjaga kepentingan peneroka, sebaliknya mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka selama ini.
Menurut Suhaimi, ketika rizab tunai Felda susut hampir RM3 bilion dalam tempoh lima tahun, agensi itu pula membuat pinjaman sebanyak RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Peneroka berhak untuk tahu apakah tujuan pinjaman tersebut itu dilakukan. Adakah pinjaman ini akan digunakan untuk menutup kerugian pelaburan mereka (Felda) di luar negara?” ujarnya.
“Felda dikatakan mempunyai kewangan yang besar, aset juga banyak. Jadi apa keperluan untuk meminjam KWSP?” katanya ketika dihubungi keadilandaily.
Dalam masa yang sama, katanya, Felda pula melakukan penipuan dan penyelewengan seperti isu dana tanam semula dan penipuan Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit terhadap peneroka.
Disebabkan itu katanya, peneroka tidak mempunyai jalan lain untuk menuntut keadilan kecuali memfailkan saman terhadap pengurusan Felda.
“Kita perlu sedar kerana kita sering dimanipulasi. Banyak keraguan yang timbul terutamanya di pihak pengurusan Felda itu sendiri” kata beliau lagi.
Tahun lalu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana menteri, Datuk Ahmad Maslan yang bertanggungjawab terhadap Felda mengaku, rizab tunai agensi itu susut daripada lebih RM4 bilion pada 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009.
Meskipun menafikan agensi itu mengalami kedudukan kewangan yang parah, Felda sehingga kini tidak memberi penjelasan tentang isu pinjaman KWSP sebanyak RM6 bilion dan kerugian pelaburan yang ditanggung di luar negara.
Felda juga kini berdepan ratusan saman daripada peneroka di seluruh negara berhubung penyelewengan yang dilakukan agensi itu.
Sebelum ini Felda disaman peneroka di Kelantan, Johor dan Negeri Sembilan.
Terbaru, seramai 711 peneroka Felda dari kawasan Jengka Pahang memfailkan saman sebanyak lebih RM344 juta terhadap Felda kerana melakukan penipuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan