Ditulis oleh Hadri Yaziz
KUALA LUMPUR : Permohonan belanjawan tambahan berjumlah RM13 bilion oleh kerajaan UMNO Barisan Nasional di parlimen baru- baru ini menimbulkan kesangsian berikutan tempoh yang dianggap terlalu awal untuk kerajaan mendapatkan kewangan tambahan bagi tahun 2011.
Walaupun alasan yang diberikan kerajaan berkait aspek pengurusan negara namun ahli parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berpendapat wujud elemen lain yang cuba disembunyikan pihak tertentu memandangkan peruntukan tambahan bagi 2010 baru sahaja diluluskan Mac lalu.
"Kalau dibuat perbandingan belanjawan tiga bulan lepas dengan jumlah RM13 bilion tidak mendatangkan apa-apa kesan (harga barang). Kenapa kerajaan mengulangi perbelanjaan yang sama jumlahnya untuk kali ke dua.
Justeru, Azan berkata permohonan belanjawan itu menguatkan lagi spekulasi bahawa dana awam itu akan digunakan bagi menampung kos Pilihan Raya Umum tidak lama lagi.
Ini kerana jelasnya, alasan untuk menampung kos subsidi adalah tidak relevan memandangkan rakyat masih terbeban dengan kenaikan tarif elektrik dan harga barang.
"Maka timbul bukti bahawa ini sebenarnya belanjawan untuk mencipta momentum khas untuk Pilihan Raya Umum ke 13 dan akan ada siri kerana setiap tahun pilihan raya memang ada jenis perbelanjaan begini dan rakyat perlu tahu sebenarnya perbelanjaan tambahan yang diminta parlimen hanya untuk memastikan Barisan Nasional boleh bertahan," kata Azan kepada Tv Selangor.
Justeru Azan mengecam peranan kerajaan pemerintah yang gagal membuat andaian tepat pengurusan kewangan sekiranya benar peruntukan tambahan itu akan disalurkan untuk kepentingan rakyat.
Azan yakin sekiranya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak menggunakan mekanisma yang sama seperti tahun lalu untuk menangani isu beban rakyat, maka pembaziran sebanyak RM13 bilion dijangka akan berlaku pada tahun ini yang ternyata tidak membawa keuntungan kepada rakyat.
"Bermakna peruntukan belanjawan (tambahan) itu ditumpukan untuk subsidi yang sebenarnya tidak berjaya meringankan beban rakyat. Ini bermakna alasan subsidi itu tidak betul.
Diwujudkan sahaja untuk menggunakan kewangan itu," ujar beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan