HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Disember 2011

DAP anti Islam tuduhan jahat

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: DAP hari ini secara tegas menolak tuduhan jahat pihak-pihak tertentu terhadap parti itu yang mengatakan DAP anti Melayu dan anti Islam.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang (gambar) berkata, tuduhan-tuduhan seperti itu ternyata tidak berasas dan berniat jahat terhadap DAP.

Menurut beliau, sebaliknya DAP tidak pernah anti Melayu dan anti Islam dan tuduhan seperti itu ternyata satu fitnah jahat terhadap parti itu yang mesti disekat oleh pelbagai pihak.

Katanya, bagaimanapun untuk menyekat fitnah jahat seperti itu bukanlah sesuatu yang mudah, melainkan dengan meminda peraturan dalam pilihanraya bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas pihak terbabit.

"Itulah sebabnya saya mengemukakan usul ini supaya dipersetujui oleh Dewan yang Mulia ini bagi menyekat fitnah-fitnah jahat disebarkan dalam pilihanraya," katanya ketika membentangkan usul untuk meminda peraturan pilihanraya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ketika beliau yang juga Penasihat DAP menjelaskan pendirian rasmi parti itu yang tidak anti Melayu dan Islam, Dewan Rakyat tiba-tiba terus menjadi kecoh dengan suara-suara gangguan keras daripada ahli-ahli Parlimen Umno BN.

Keadaan itu menyebabkan Lim tidak dapat meneruskan ucapannya beberapa ketika sehingga suasana berjaya ditenangkan kembali oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Usul yang dikemukakan oleh beliau itu melibatkan cadangan pindaan beberapa peraturan pilihanraya di bawah bidang kuasa SPR yang menyokong 8 tuntutan Bersih.

Selain itu turut ditambah cadangan pindaan beberapa perkara lain termasuk yang melibatkan hak mengundi bagi pengundi-pengundi luar negara dari kalangan rakyat Malaysia yang bekerja atau tinggal di luar negara.

Usul tersebut dikemukakan oleh beliau di bawah peraturan 30 (1) dan 30 (4C) peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, tetapi ditolak oleh Yang Dipertua untuk dibahaskan atas alasan teknikal dan di bawah beberapa peraturan lain.

Sebelum itu, persidangan Dewan Rakyat turut kecoh apabila Ahli Parlimen Padang Serai (Bebas), N Gobalakrishnan mengganggu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap membahaskan usul penambahbaikan pilihanraya yang dikemukakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili.

Walaupun telah ditegur berkali-kali agar tidak mengganggu persidangan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Gobala tetap tidak mengendahkan teguran itu malah terus bersuara lantang melemparkan pelbagai tuduhan liar terhadap Anwar.

Akhirnya, beliau diarahkan keluar dewan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sehingga selesai tempoh waktu persidangan pagi ini.

Tiada ulasan: