HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Disember 2011

Pemuda PAS cadang mahabah selesai kemelut dalaman

Mempertemukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Datuk Mustafa Ali, Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa



PETALING JAYA: Pemuda PAS mahu perang mulut di kalangan pemimpin parti dihentikan segera dan mencadangkan kepimpinan utama bertemu bagi menyelesaikannya.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, satu majlis mahabah yang mempertemukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Datuk Mustafa Ali, Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa perlu diadakan.

Katanya, semua pihak mestilah ikhlas, berlapang dada, sedia berbincang, bersemuka dan berterus terang.

“Selesaikanlah dengan baik dan berbincanglah dengan penuh hikmah dan sabar. Dalam perkara ini, tiada siapa yang perlu menang sebagaimana tiada siapa pula yang perlu kalah.

“Sebaliknya, jernihkan apa yang keruh, tenangkan apa yang ribut, jelaskan apa yang keliru, luahkan apa yang terbuku, insafi apa yang salah, perbaiki apa yang silap, teguhkan apa yang pincang, satukan apa yang retak, damaikan apa yang kacau dan kembali tautkan al-ukhuwwah,” kata beliau.

Tersenyum lirik

Nasrudin berkata, jangan rosakkan mood anggota parti yang gigih berkerja dan berjuang untuk mencari kemenangan buat perjuangan ini dengan pertelagahan yang saling mendedah dan membongkar kelemahan serta kekurangan parti.

Katanya, Pemuda PAS sangat mengharapkan polemik ini dihentikan segera dengan semua pihak ikhlas berkerjasama ke arahnya.

Menurut beliau lagi, ahli kian resah, masyarakat awam terpinga-pinga tetapi musuh yang tersenyum lirik.

“Ia tidak mendatangkan apa-apa kebaikan dan manfaat kepada parti. Sebaliknya, mengundang persepsi negatif di saat parti mengorak langkah menuju Putra Jaya,” tambah beliau.

Perang mulut berlaku apabila Dr Hasan yang juga bekas timbalan pesuruhjaya PAS Selangor mengkritik kepimpinan PAS termasuk menukar teras perjuangan dari negara Islam kepada negara berkebajikan.

Tiada ulasan: