HALAMAN SANTAI

Jumaat, 2 Disember 2011

Salleh: Sabah tetap simpanan tetap BN

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Sabah tetap kekal sebagai ‘simpanan tetap’ Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13.

Menurut perwakilan Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak negeri kekal sebagai simpanan tetap kerana BN Sabah terkawal walaupun ada yang kata ia bermasalah.

“Malah ia juga akan menjadi ‘first party insurance’ kepada BN,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden di perhimpunan agung Umno petang tadi.

Beliau berkata Umno Sabah ingin memberi Indeks Prestasi Utama (KPI) kepada Perdana Menteri yang menurut Salleh, Datuk Seri Najib Razak mendapat 5A bagi gaya kepimpinan, pengurusan ekonomi, pembentangan bajet 2012, kerja berpasukan dan ujian politik.

“Najib hanya dapat 1F di mana beliau dapat F bagi janji kosong. Ini bermakna Najib tidak pernah berjanji kosong kepada rakyat Sabah,” kata beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.

Beliau percaya rakyat terus memilih BN pada pilihan raya umum akan datang kerana faktor siapa yang jadi Perdana Menteri.

“Siapa yang rakyat mahu jadi PM, adakah Najib atau Datuk Seri Anwar Ibrahim?” katanya.

Katanya, Anwar tidak mungkin jadi perdana menteri kerana kes mahkamah beliau.

“Begitu juga Lim Kit Siang tidak sesuai jadi PM kerana beliau lebih sesuai jadi ketua pembangkang. Sebaliknya (Presiden PAS Datuk Seri) Haji Hadi (Awang) tak layak jadi PM kerana ketika menjadi MB Terengganu, negeri itu boleh terlepas dari genggaman PAS,” katanya.

Sebab itu, Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud berpendapat Najib yang lebih wajar dipillih oleh sebagai PM oleh rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, perwakilan Perak, Shahrani Mohamad mencadangkan supaya Najib memanggil semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang mahu digugurkan sebagai calon sekurang-kurangnya satu bulan sebelum Parlimen dibubarkan.

Katanya, dengan cara ini mereka lebih bersedia menerima hakikat bahawa mereka sudah tidak menjadi calon.

“Apa yang sering berlaku penyandang jawatan digugurkan di saat-saat akhir yang menyebabkan mereka marah dan memberontak,” katanya ketika membahaskan usul ucapan Presiden.

Shahrani yang juga Ketua Umno Bahagian Lenggong mendakwa BN kalah di Perak pada tahun 2008 kerana tidak membawa balik pengundi luar yang berada di luar Perak.

“Pengundi luar boleh memenangkan parti. Justeru itu saya menyeru Umno Perak mengesan semua pengundi luar dan bawa mereka balik mengundi pada pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Beliau juga mahu pucuk pimpinan mermilih calon yang benar-benar boleh diterima rakyat.

Tiada ulasan: