Ahmad Shukri menyifatkan seorang menteri hanya wajar meletak jawatan jika terlibat dalam isu rasuah dan salah guna kuasa.
KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyatakan sokongan terhadap Datuk Saifuddin Abdullah untuk terus kekal memegang jawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi di atas usaha beliau meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) selama ini.
Pengerusi SMM Ahmad Shukri Abdul Razak, menganggap Saifuddin telah menjadi mangsa di sebalik sikap terbuka beliau dalam isu-isu berkait dengan mahasiswa.
Maka SMM menurut beliau, menolak gesaan Pro Aspirasi yang menuntut agar Saifuddin meletakkan jawatan kerana tidak disokong alasan kukuh.
“Saifuddin jangan letak jawatan selagi isu Auku belum selesai. Bagi kami Saifuddin menjadi mangsa kepada golongan yang berlindung di sebalik keterbukaan beliau,” katanya.
‘Hingga Auku selesai’
Ahmad Shukri menyifatkan seorang menteri hanya wajar meletak jawatan jika terlibat dalam isu rasuah dan salah guna kuasa.
“Kita rasa beliau perlu kekal sebagai timbalan menteri sehingga isu Auku selesai. Beliau tidak rasuah, beliau tidak aniaya orang, beliau tidak seleweng duit.
“Dia sedang meminda Auku dan kita tolak gesaan untuk beliau meletak jawatan dan kita sokong beliau sebagai timbalan menteri pengajian tinggi,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Pada 21 Disember lalu, sekumpulan mahasiswa yang dikenali sebagai Pro-Aspirasi berhimpun di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi dengan membawa sepanduk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan