HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Ogos 2012

Jabatan agama: Kopitiam T'ganu tiada sijil halal

Bernama


 
Tiada kopitiam di negeri ini yang memiliki sijil halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) setakat ini, kata Pesuruhjaya JHEAT Datuk Mohd Rozali Saleh.

Beliau bagaimanapun menjelaskan sijil halal tidak diwajibkan ke atas pengusaha kopitiam di negeri tersebut dan ia hanya sebagai satu aspek penambahbaikan terhadap operasi mereka.

"Kesedaran di kalangan pengusaha kopitiam masih rendah dan majoritinya memandang remeh mengenai kepentingan sijil halal. Kita tidak boleh memaksa pengusaha kopitiam untuk memohon sijil halal JHEAT kerana ia bukan wajib, cuma berharap mereka akan berusaha mendapatkannya sebagai satu aspek penambahbaikan," katanya ketika ditemui Bernama di Kuala Terengganu hari ini.

Katanya JHEAT berharap agar orang ramai berhati-hati ketika memilih tempat untuk menjamu selera kerana hanya premis makanan yang menerima sijil halal JHEAT sahaja benar-benar mematuhi kriteria halal jabatan itu.

"Jika orang ramai menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna dengan 'menggesa' pengusaha kopitiam mendapatkan sijil halal JHEAT, pasti ia akan memberi kesan terhadap operasi perniagaan mereka," katanya.

Sehingga kini, katanya hanya satu kopitiam di Kemaman sahaja telah memohon kepada JHEAT untuk sijil halal dan ia masih dalam proses penelitian.- Bernama

Tiada ulasan: