HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 November 2012

Hasan Ali lancar IMR Network

 
IMR adalah saluran baru media yang lebih bebas dan tidak terikat dengan individu, kerajaan, ahli politik mahupun menteri.



SHAH ALAM: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menafikan bahawa penubuhan rangkaian media dikenali sebagai IMR Network mempunyai kaitan peribadi dengan karier politik mahupun badan bukan kerajaan (NGO) Jalur Tiga (JATI) yang diketuainya.

Beliau yang ditemui ketika majlis pelancaran operasi Islam-Melayu-Raja (IMR Network) petang tadi berkata, saluran baru media ini juga tiada kaitan dengan mana-mana parti politik.

Menurut beliau, IMR adalah saluran baru media yang lebih bebas dan tidak terikat dengan individu, kerajaan, ahli politik mahupun menteri.

“IMR dengan JATI tiada kena mengena. IMR ada program politik namun politik ini berbeza dengan saluran konvensional.

“Kita paparkan fakta, hujah kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang), kerana kami ada satu misi untuk menjadikan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil, aman dan sentosa.

“IMR tiada kaitan dengan parti politik. Tapi kita mahu ada kaitan hanya dari segi idea, intelektualiti,” katanya yang juga Pengarah Urusan IMR Network.

Ketika ditanya jika ahli politik turut serta dalam sebarang program TV mahupun radio di IMR, beliau mengalu-alukan kehadiran mereka.

“Anwar, Najib, Hadi Awang, Nik Aziz boleh datang,” katanya berseloroh.

Sejak dipecat dari PAS pada 8 Jan lalu, Hasan Ali yang juga presiden JATI kini bergiat aktif dalam dunia penyiaran.

IMR Network mula beroperasi sejak sebulan lalu dengan menyajikan pelbagai program dan segmen untuk tontonan umum menerusi online.

Tidak terkecuali program politik dengan segmen seperti sembang politik, debat dan lain-lain.

Pelbagai program dan segmen berkaitan dengan kehidupan manusia turut dipaparkan melalui IMRTV.

Selain itu, IMR Network turut mempunyai rangkaian radio yang menemui pendengar sepanjang 24 jam bersiaran.

Tiada ulasan: