Oleh Masdar Wahid
KUALA LUMPUR - Peguam Gobind Singh Deo (gambar) kesal kerana
saksi penting seperti DSP Musa Safri tidak dipanggil memberi keterangan
sepanjang berlangsungnya perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibu.
“Isu asas ialah mengapa saksi penting seperti Musa Safri tidak
dipanggil sedangkan beliau memberi kesan penting dalam kes itu,” soalnya
ketika dihubungi.
Musa
Safri ialah Ketua Pengawal Peribadi semasa Datuk Seri Najib Razak
menjadi Timbalan Perdana Menteri, ketika Altantuya dibunuh di Shah Alam,
20 Oktober 2006.
Manakala pada 23 Ogos lalu, Kamarul Hisham Kamaruddin, peguam Sirul
berkata, tindakan hakim tidak memanggil Musa menyebabkan terdapat
‘lompong besar’ dalam kes itu.
“Dari rekod pihak pendakwaan, Musa memainkan peranan penting dan
boleh membantu menjelaskan banyak perkara seperti motif. Ini penting
untuk kes pendakwaan,” Kamarul dipetik berkata.
Mengulas lanjut, Gobind menuntut Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul
Ghani Patail memberi respon isu itu mengapa motif tidak penting dalam
kes itu.
“Sebab itu saya cadang agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI)
ditubuh bagi menyiasat dan mengenalpasti pembunuh sebenar Altantuya.
RCI juga mesti menjawab beberapa perkara penting berikut.
“Pertama siapa yang mengarahkan Altantuya dibunuh. Kedua mengapa
wanita Mongolia itu dibunuh dan ketiga Peguam Negara mesti beri respon
mengapa motif tidak penting dalam kes ini,” kata Ahli Parlimen Puchong
itu yang pernah dihalang menghadiri Dewan Rakyat 12 Mac 2009 ekoran
tindakannya mengaitkan Najib dalam kes bunuh Altantuya.
Sementara itu, Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali turut
mempersoal mengapa mahkamah tidak memanggil saksi penting Musa Safri,
yang juga bekas pembantu Najib untuk merungkai kes pendakwaan.
“Nama DSP Musa Safri disebut dalam mahkamah. Kenapa watak ini tak dipanggil beri keterangan.
“Apakah ini pendakwaan terpilih. Keputusan dibuat mahkamah Malaysia menimbulkan lebih banyak persoalan,” kata Azmin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan