HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Ogos 2013

Jawapan Khairy isu Utusan tak masuk akal

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Jawapan Khairy Jamaluddin mempertahankan tiada tindakan Datuk Seri Najib Razak ke atas Utusan Malaysia tidak masuk akal sama sekali.

“Utusan dimiliki Umno. Jelas sekali memainkan peranan sebagai perkakas propaganda rejim pemerintah,” kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) dalam kenyataan.

nik-nazmi-11

Beliau mengulas kenyataan Khairy yang cuba menafikan ucapannya sendiri, iaitu Najib Razak tidak memperakui laporan Utusan Malaysia ‘Apa lagi Cina mahu’ yang mencetus kontroversi selepas pilihan raya umum.

Khairy berkata demikian dalam sesi soal jawab di Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia ketujuh di Kuala Lumpur 25 Ogos lalu.

“Mungkinlah sukar untuk Khairy mempunyai pandangan berbeza memandangkan peranannya dalam kabinet hari ini.

“Namun jawapannya jelas kepada masyarakat lainnya,” kata Nik.

Tambah Nik, apa yang dilakukan Utusan Malaysia tidak ada kaitan dengan kebebasan akhbar.

“Memandangkan Utusan bukan akhbar swasta biasa tetapi dimiliki Umno, Najiblah yang akhirnya bertanggungjawab ke atas akhbar tersebut,” katanya.

Tambah Nik, jika Perdana Menteri membawa agenda 1Malaysia kepada masyarakat khasnya orang Melayu, beliau harus berperanan sebagai Presiden Umno mengarahkan Utusan menyokong mesej tersebut.

“Tetapi sebagaimana Najib telah membuktikan berkali-kali sejak menjadi Perdana Menteri, beliau bukanlah mampu memimpin, apatah lagi menjadi seorang negarawan.

“Jika inilah ‘kepimpinan sederhana’ terbaik yang Umno boleh hasilkan, rakyat Malaysia berhak berasa susah hati,” ujarnya.

Tiada ulasan: