HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Februari 2014

Chew Mei Fun calon BN, Perkasa wajib jadi tukang kempen utama



Oleh Shahbudin Husin


Barisan Nasional (BN) akhirnya memutuskan calonnya bagi berhadapan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac depan ialah Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Meskipun beliau seorang wanita, tetapi dengan kedudukannya dalam MCA serta pengalamannya pernah menjadi timbalan menteri dan ahli Parlimen sebelum ini, beliau dianggap calon terbaik untuk menghalang Anwar daripada memenangi kerusi itu dan seterusnya menjadi MB Selangor.

Dengan sahnya BN turut menyertai pilihan raya kecil ini dan mengelak untuk membiarkan Anwar hanya ditentang oleh calon Bebas dan sekali gus boleh menjimatkan wang kerajaan, pengundi Kajang sudah boleh membayangkan kemeriahan kempennya yang pasti disusuli dengan pelbagai pengumuman projek segera bernilai juta-jutaan ringgit untuk mendapatkan sokongan.

Menyedari cabaran BN dalam pilihan raya ini bukannya mudah dan Datuk Seri Najib Razak sendiri mengakui perlunya BN bekerja dua kali ganda daripada biasa, limpahan projek pembangunan dan seumpamanya juga mungkin turut berlipat kali ganda jumlahnya.

Menariknya pilihan raya kecil ini bukan saja kerana ia akan membuka jalan kepada Anwar menjadi MB Selangor dan BN pula cuba menghalangnya, tetapi pihak yang turut menyertai pilihan raya ini juga adalah semata-mata untuk menghalang kemaraan Anwar itu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan hasratnya bertanding adalah semata-mata untuk menghalang Anwar menduduki kerusi MB Selangor dan mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di kerusi tersebut, meskipun tiada sesiapa yang memintanya berbuat demikian.

Calon Bebas lain yang turut mengumumkan untuk bertanding seperti Nallakaruppan, Yuktes Vijay dan Herman Tino, walaupun hasratnya juga mahu menghalang Anwar, mungkin sudah hilang semangat meneruskan niat masing-masing berikutan pengumuman yang dibuat sebelum ini langsung tidak mendapat sambutan.

Zaid juga dijangka tidak mampu memberi saingan yang hebat dan persaingan sebenar adalah antara PKR dengan BN.

Menariknya juga pilihan raya kali ini ialah kerana ia menyebabkan NGO pendesak Melayu, Perkasa turut menjadi mamai dan tidak keruan pendiriannya. Pada peringkat awal, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, Perkasa tidak mahu terlibat dalam pilihan raya kecil ini kerana ia tidak membawa sebarang perbezaan kepada Selangor.

Menurutnya, pilihan raya itu diadakan lebih untuk kepentingan peribadi individu tertentu dalam PKR dan kalah atau menang tidak membawa perbezaan kepada politik Selangor.

Bagaimanapun beberapa hari kemudian, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang terdengar ura-ura bahawa MCA bakal mencalonkan Chew Mei Fun untuk berhadapan dengan Anwar, lantas menyokong pemilihan itu dan menganggapnya sebagai pilihan yang tepat untuk menewaskan Anwar.

Bagi Ibrahim yang mengaku beliau 1000 lebih hebat daripada Anwar Ibrahim, pemilihan Chew Mei Fun yang pernah meletakkan jawatan daripada MCA kerana tidak bersetuju dengan bekas Presiden MCA sebelumnya, Datuk Seri Chua Soi Lek yang dikaitkan dengan isu moral dan penyebaran video seks, adalah pilihan paling tepat untuk membawa obor kemenangan BN.

Sokongan Ibrahim itu menjadikan beliau seolah-olah memangkah pendirian awal yang pernah dinyatakan oleh Syed Hasan yang juga merupakan timbalan pengerusi Kelab Chedet iaitu sebuah kelab yang menyokong perjuangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mungkin secara kebetulan atau barangkali BN memang menerima pakai hujah Ibrahim itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi menyatakan bahawa BN bersetuju untuk memilih Chew Mei Fun sebagai calon BN di Kajang untuk berhadapan dengan Anwar.

Maka, dengan persefahaman secara tidak langsung ini, Ibrahim dan Perkasa wajib menjadi tukang kempen utama untuk pilihan raya kecil ini. Ia bukan saja untuk membuktikan kebenaran bahawa Chew Mei Fun sebagai calon yang paling tepat daripada segi moral dan kualitinya untuk membawa kemenangan kepada BN tetapi juga untuk mengesahkan Ibrahim benar-benar 1000 kali lebih hebat berbanding Anwar.

Ibrahim dan Perkasa kini tiada pilihan lain, kecuali sama-sama menyingsing lengan berkempen untuk kemenangan cakon daripada MCA itu walaupun sebelum ini NGO pendesak Melayu dan parti berasaskan kaum Cina itu pernah berbalah dalam beberapa isu yang melibatkan kepentingan Melayu. – shahbudindotcom.blogspot.com

Tiada ulasan: