PAGOH: Pemilihan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menjadi pengukur kepada penerimaan rakyat terhadap kepimpinan baharu parti itu.
Berikutan itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peluang bertanding itu tidak harus dipersia-siakan meskipun ada pihak mencadangkan BN supaya tidak bertanding pada pilihan raya kecil DUN Kajang 23 Mac ini.
"Kalau tidak ada kesempatan ini diambil, maka lebih sukar untuk mengukur sejauh mana penerimaan masyarakat Cina ataupun rakyat terhadap kepimpinan baharu (MCA).
"Apapun keputusan itu nanti, akan dijadikan satu gambaran di mana mereka (MCA) berada, dan langkah-langkah pemulihan yang boleh diambil dan asas-asas perjuangan yang hendak diperjuangkan untuk masyarakat Cina mungkin dapat disampaikan pada pilihan raya seperti ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di kawasan Parlimen Pagoh di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata kepimpinan baharu MCA juga diberi kesempatan untuk membuktikan kepada pengundi di situ dan masyarakat Tionghua bahawa mereka bersedia membantu kaum itu.
"Saya fikir ada baiknya kita beri peluang (kepada MCA) walaupun ada cadangan untuk kawasan itu diberikan pada wakil parti komponen (BN) yang lain," katanya.
Menurutnya Chew merupakan calon yang sesuai bagi kerusi DUN Kajang kerana beliau berpengalaman menyandang jawatan kerajaan dan seorang yang berprinsip dari segi perjuangannya dan mempunyai perwatakan baik.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata BN tidak mahu memberi laluan mudah kepada pembangkang dengan tidak bertanding, meskipun dilihat sebagai "bukan pilihan" pada pilihan raya kecil itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan