Oleh: Rusnizam Mahat
KUALA LUMPUR : Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan kerajaan BN adalah maklumbalas kepada siri program merakyatkan ekonomi oleh Pakatan Rakyat khususnya di Selangor, kata Adun Batu Caves, Amirudin Shari.
“Jelas bahawa BR1M adalah maklum balas atau respon daripada kejayaan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor, dengan program Merakyatkan Ekonomi seperti pemberian air percuma dan beberapa program lain.
“BN tertekan dengan kejayan Pakatan menguruskan program yang baik buat manfaat untuk rakyat. Jadi mereka mengambil jalan pintas dengan memperkenalkan BR1M,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, rakyat tahu pemberian one off tidak membantu meringankan beban, di saat pelbagai kenaikan harga barang dan pemotongan subsidi.
Pada masa sama, katanya, kerajaan berterusan melakukan pembaziran dan ketirisan dalam urustadbir negara.
“Rakyat faham pemberian bersifat sementara ini takkan membantu meringankan bebanan mereka. Dengan pemberian RM650 dan RM1200 ini tidak membantu kenaikan kos minyak, penarikan balik subsidi dan sebagainya,” ujarnya kepada Suara Keadilan.
Untuk BR1M 3.0 yang mula diagihkan 22 Februari lalu, kerajaan memperuntukkan RM4.6 bilion kepada 7.9 juta penerima.
Turut diperkenalkan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) bernilai RM50 kepada penerima isi rumah dengan nilai perlindungan minimum RM1,000 dan maksimum RM30,000 jikaa berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal.
Bantuan seumpama itu tidak pernah diberikan kerajaan sebelum tsunami politik pada Mac 2008, yang menyaksikan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga kerusi di parlimen.
Dalam pada itu kata Amir, rakyat perlu faham bahawa BR1M merupakan wang daripada poket mereka sendiri, iaitu wang yang disalur oleh rakyat melalui penarikan subsidi dan pelbagai cukai.
“Wang BR1M ini adalah wang yang disalur daripada subsidi yang telah ditarik balik seperti gula, petrol dan tarif elektrik. Rakyat faham bahawa adalah jauh lebih baik subsidi diteruskan berbanding pemberian bersifat sementara seperti BR1M,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan