KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) melancarkan kempen untuk mengumpul dana RM800,000 bagi menjayakan program sepanjang 2014/2015.
Kempen “Bersih: We are the champions” itu bakal berlangsung pada majlis makan malam di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya, pada 8 Ogos ini.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, NGO itu memerlukan dana untuk melaksanakan tiga program utama yang bertumpu kepada proses persempadanan semula, pendidikan pengundi dan pembaharuan undang-undang.
Katanya, kempen ini penting untuk halatuju baru Bersih ke arah mencapai tahap demokrasi Malaysia seterusnya.
“Rakyat Malaysia telah berdemonstrasi secara besar-besaran demi Bersih.
“Kami juga telah beramai-ramai keluar mengundi pada PRU 13.
Tetapi demonstrasi dan pilihan raya tidak akan membawa kepada perubahan jika suara kita masih tidak didengari dan proses pilihan raya masih tidak adil. Oleh itu kerja Bersih mesti berterusan dan menjangkau demonstrasi,” katanya dalam kenyataan.
Maria menjelaskan, Bersih 2.0 akan bekerjasama dengan peguam dan Ahli-ahli Parlimen untuk mencabar Seksyen 9A Akta Pilihan Raya yang menghalang rakyat daripada mencabar daftar pemilih yang diwartakan.
Menurutnya, organisasi itu juga telah menubuhkan Pasukan Tindakan dan Kajian Persempadanan (Dart) untuk membentuk pasukan akar umbi yang berupaya mencabar manipulasi sempadan pilihan raya.
Tambah Maria, Bersih juga merancang untuk mengadakan bengkel pendidikan pengundi di kira-kira 80 kawasan pilihan raya utama, khususnya di kawasan pedalaman dan di kalangan masyarakat terpinggir di Sabah dan Sarawak.
“Kini rakyat Malaysia tak sanggup berdiam lagi,” kata Maria.
“Kita telah dan akan menjadi sebahagian daripada perubahan,” sambung beliau.
Justeru, semua penyokong diseru untuk menyumbang dengan membeli sebuah meja (10 kerusi) di majlis makan malam itu pada harga RM2,000, RM5,000 atau RM10,000. Bagaimanapun, mereka yang memilih untuk menyumbang tanpa membeli meja dialu-alukan untuk menderma.
Derma tersebut boleh disalurkan ke akaun berikut: Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (A/C No: 03000064902, Hong Leong Bank; kod swif: HLBBMYKL). Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pejabat di +603-7772 3275 atau donation@bersih.org atau layar https://www.bersih.org/champion/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan