MALAYSIAKINI
Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa Kerajaan Persekutuan masih
menanggung pembiayaan untuk membina satu kampus baru Universiti
Teknologi Mara (UiTM) tidak langsung meskipun pembinaannya diswastakan
kepada syarikat konsesi.
Beliau mendakwa, kerajaan menanggung projek untuk kampus Kota Samarahan,
Sarawak secara tidak langsung melalui pembiayaan dari sebuah bank
pembangunan yang dimiliki kerajaan.
Dakwanya, wang tersebut diterima syarikat konsesi yang membina kampus itu dalam bentuk pinjaman dari bank tersebut.
Namun, projek pembinaan sebenar diserahkan kepada satu subkontraktor bukan bumiputera, dakwanya.
"Kalau begitu, kerajaan sepatutnya membuka proses tender dan (nama
syarikat tidak disiarkan buat masa ini) boleh membida secara terus bagi
mendapatkan projek itu," kata Rafizi dalam sidang akhbar di Kuala
Lumpur, hari ini.
Keseluruhan penswastaan bagi enam kampus baru UiTM menyebabkan kos
konsesi melonjak sehingga empat kali ganda lebih tinggi daripada kos
asal, katanya.
"Langkah penswastaan UiTM adalah bukti bahawa nama Melayu dan bumiputera
digunakan untuk memperkayakan kroni Umno," kata Rafizi lagi.
Malaysiakini tidak menyiarkan nama syarikat terlibat sehingga mendapat maklum balas syarikat terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan