HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Jun 2014

Kalau Bukan C4, Altantuya Diletup Guna Bom Apa?

KELAB GREENBOC


 

Pendengaran rayuan kes bunuh Altantuya Shaariibuu yang memasuki hari kedua hari ini dikejutkan apabila Mahkamah Persekutuan diberitahu bahawa wanita Mongolia itu mati bukan akibat letupan C4.

Mengikut laporan Malaysiakini, Timbalan Peguam Cara Negara II, Tun Abdul Majid Tun Hamzah menyalahkan media kerana menggelar letupan yang digunakan terhadap Altantuya sebagai ‘C4′.

“Kami tidak pernah kata ia C4, ia dibuat akhbar, ia bukan C4,” katanya dipetik.

Abdul Majid berkata, Unit Tindakan Khas tidak pernah menggunakan letupan C4 tetapi tertuduh boleh menggunakan sebarang bentuk letupan hasil latihan mereka.

Pendengaran rayuan itu dibuat terhadap pembebasan dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK), Chif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar atas pertuduhan membunuh wanita itu.

Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013, membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada pertuduhan membunuh Altantuya selepas sebulat suara membenarkan rayuan mereka dan meminda sabitan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada 2009. Mereka didapati bersalah membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara jam 10.00 malam 19 Oktober dan 1.00 pagi pada 20 Oktober 2006, dipercayai menggunakan bom C4.

Kematian Altantuya berkait dengan skandal pembelian kapal selam Scorpene oleh Kerajaan Malaysia daripada Perancis melibatkan komisen lebih RM500 juta.

Bagaimanapun, hari ini, bom C4 yang digunakan untuk meletupkan wanita itu lapan tahun lalu diseleweng dengan dinyatakan ia bukanlah C4. -KD


Selipar berdarah tumpuan mahkamah

Pendengaran rayuan terhadap pembebasan Chf Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar atas pertuduhan membunuh warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu memasuki hari kedua hari ini.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah dan Sirul daripada pertuduhan membunuh selepas sebulat suara membenarkan rayuan mereka dan meminda sabitan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Peguam Cara Negara II Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Azilah diwakili oleh peguam Hazman Ahmad, J Kuldeep Kumar sementara Sirul diwakili oleh Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Rezua Merican dan Ahmad Zaidi Zainol.

Rayuan akan didengar di hadapan lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria.

Hakim terlibat adalah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Richard Malanjum dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Abdull Hamid Embung, Suriyadi Halim Omar dan Ahmad Maarop.

Semalam, pihak pendakwaan membangkitkan beberapa penyalaharahan, termasuk rekod balai Bukit Aman, selipar dengan kesan darah dalam kenderaan Sirul dan rekod telefon bagi mengesan lokasi Azilah semasa pembunuhan berlaku.

Laporan langsung

2.45pm: Kamarul berhujah, kesan darah yang dikatakan milik Altantuya dan didakwa ditemui di selipar dalam kenderaan Sirul adalah tidak relevan.

Katanya, kematian Altantuya disebabkan “kemungkinan kecederaan berkaitan letupan” dan penyiasat tidak menemui setitik pun darah di lokasi jenayah.

Tambahnya, ujian menunjukkan bahawa tidak meyakinkan ia berasal daripada Altantuya.

“Jadi jika darah ditemui... ia ada kaitan dengan apa? Sebab kematian bukan daripada tembakan senjata api atau ditikam yang menumpahkan darah,” katanya.

Hakim Arifin bagaimanapun berkata:

“Ia mengukuhkan beberapa kaitan... Bagaimana terdapat selipar dengan darah, dia (tertuduh) mesti jelaskannya,” katanya.

Kamarul kemudiannya berkata, kenderaan Sirul berada di tangan rakan polisnya antara 3 hingga 6 Oktober 2006, lebih kurang sama masa ketika keraguan pada Sirul muncul.

Selipar berdarah itu kemudiannya ditemui dalam kenderaan itu pada 9 Oktober, katanya.

3pm: Hakim Arifin bertanya jika Kamarul berkata Sirul dianiaya, yang mana peguam itu menjawab positif.

Arifin kemudian meminta Kamarul merujuk mahkamah kepada bahagian-bahagian relevan pembelaan yang hujah itu dibuat ketika perbicaraan.

Kamarul setuju melakukannya esok. Mahkamah ditangguhkan.

1.41pm: Kamarul membangkitkan mengenai hujah pendakwaan bahawa polis tidak dapat meletakkan bukti di rumah Sirul kerana tidak mempunyai kunci.

Katanya, kunci tersebut diserahkan oleh Sirul kepada ACP Mastor Mohd Ariff.

Mastor membuat perjalanan ke Pakistan untuk menahan Sirul yang sedang bertugas sebagai salah seorang dalam pasukan pendakwaan perdana menteri pada masa itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kamarul berkata Mastor menyerahkan kunci tersebut kepada seorang pegawai yang mengunjungi rumah Sirul.

Bagaimanapun, kata Kamarul, Mastor memberi keterangan bahawa kunci yang digunakan untuk memasuki rumah Sirul bukan kunci sama yang diserahakn kepada pegawainya.

"Beliau berkata kunci yang diserahkan itu sudah lusuh, yang ini masih baru.

"Terdapat satu lagi set kunci, dari mana kunci ini datang?," soalnya.

"Jika polis sudah mempunyai kunci dan sudah mengunjungi rumah tersebut dan hanya pada masa itu barang kemas tersebut ditemui di rumah tersebut, maka ia bahan bukti yang tidak selamat," katanya.

Kamarul berkata pihak pendakwaan mengabaikan fakta berhubung kewujudan satu lagi set kunci.

1.20pm: Kuldeep menamatkan penghujahannya.

Kamarul Hisham seterusnya memulakan penghujahan bagi Sirul, tertuduh kedua.

Kamarul membangkitkan mengenai barang kemas Altantuya yang didakwa ditemui di rumah Sirul.

Katanya, Sirul tidak membawa polis ke rumahnya untuk menunjukkan kedudukan barang kemas tersebut, dan menganggap seluruh proses tersebut "dirancang".

Kamarul berkata Sirul hanya dipanggil masuk ke rumah tersebut selepas polis menemui barangan berkenaan ketika tertuduh menunggu di luar.

"Selepas dia dipanggil masuk, hanya selepas itu dia diminta beraksi untuk rakaman gambar," katanya.

12.35pm: Sesi pendengaran bersambung.

Azilah dan Sirul mengambil tempat selepas memasuki mahkamah melalui pintu sisi.

Jurugambar setakat ini gagal mengambil gambar baru kedua-dua mereka.

Kuldeep memulakan penghujahannya.

11.35am: Kuldeep mengemukakan hujah bahawa diari balai tersebut menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

"Kedudukannya adalah, diari balai ialah bukti kukuh dan menimbulkan keraguan munasabah. Sama ada ia diterima atau tidak, ia menimbulkan keraguan munasabah," katanya.

Persidangan mahkamah ditangguhkan untuk rehat selama 30 minit.

Sementara itu, Manoj Kurup ketika diminta menjelaskan mengenai letupan yang digunakan ke atas si mati berkata, letupan yang digunakan adalah pentaerythritol tetranitrate (PETN) dan Research Department explosive (RDX).

Ditanya mengapa penghakiman Mahkamah Rayuan menggunakan istilah "C4", Tun Abdul Majid menjawab:

"Mereka (hakim) tidak baca rekod, mereka baca akhbar".

11.16am: Kuldeep memetik kes di mana buku rekod polis diterima sebagai bukti bersama-sama pendaftaran lokap. Arifin berkata mereka menerimanya bersama-sama dan dibaca sebagai satu.

“Buku rekod stesen (polis) tidak diterima secara sendiri,” kata ketua hakim.

11.09am: Hakim Mahkamah Persekutuan Abdull Hamid Embung mencatat bahawa Kuldeep menyerang bukti pendakwaan berhubung log panggilan telefon dan bertanya tentang alibi Azilah.

Kuldeep membangkitkan tentang buku rekod Bukit Aman yang ditunjukkan Azilah semasa berada di ibu pejabat polis semasa pembunuhan Altantuya.

Untuk itu, Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria membangkitkan bahawa pihak pendakwaan berhujah bahawa dokumen itu hanya khabar angin.

“Kami setuju ia relevan tetapi kebolehterimaannya satu isu,” katanya.

Bagaimanapun, Kuldeep membangkitkan kes sebelum ini, dengan berhujah bahawa ia adalah rekod awam dan boleh diterima sebagai bukti dalam keadaan-keadaan tertentu.

10.21am: Kuldeep berkata log panggilan telefon yang digunakan untuk mengenal pasti kedudukan Azilah tidak dalam bentuk asal dan diekstrak serta disusun semula oleh eksekutif syarikat komunikasi daripada data mentah sebenar.

“Apa yang lebih penting adalah kesalahan teknikal dan kesalahan penskripan dalam proses mengekstrak data,” katanya.

Katanya, testimoni pakar juga mengakui kesalahan boleh berlaku semasa proses itu.

10.05am: Pihak pendakwaan mengakhiri penghujahan.
Kuldeep, yang mewakili Azilah, mengambil tempat.

Kuldeep berkata, Mahkamah Tinggi gagal mengambil kira alibi Azilah.

“Mahkamah Tinggi tidak pernah memutuskan dalam isu alibi, sama ada dia (Azilah) berada di lokasi jenayah atau tidak,” katanya.

Ini, kata Kuldeep, kecacatan serius dalam kes.

9.56am: Tun Abdul Majid berhujah, jika terdapat sebarang penyalaharahan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan mensabitkan kesalahan tertuduh, ia masih tidak menyebabkan kesalahan mahkamah yang substansial.

“Jika kami kembali kepada laporan, terdapat bukti cukup (untuk sabitan kesalahan),” katanya.

9.52am: Tun Abdul Majid berkata, pembantu Najib Musa Safri tidak dipanggil sebagai saksi kerana peranannya hanya memperkenalkan Abdul Razak kepada pegawai polis bagi menjaga keselamatannya. Katanya, pihak pendakwaan juga menawarkan Musa sebagai saksi pasukan pembelaan tetapi tidak diterima.

9.42am: Tun Abdul Majid menyalahkan media kerana menggelar letupan yang digunakan terhadap Altantuya sebagai “C4”. “Kami tidak pernah kata ia C4, ia dibuat akhbar, ia bukan C4,” katanya.

Katanya, Unit Tindakan Khas tidak pernah menggunakan letupan C4 tetapi tertuduh boleh menggunakan sebarang bentuk letupan hasil latihan mereka.

9.23am: Pendengaran kes rayuan di Mahkamah Persekutuan bermula.
-mk

Tiada ulasan: