PKR berkeras menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal jawatan Menteri Besar Selangor.
Pendirian itu sekaligus dilihat tidak menepati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu supaya setiap parti dalam Pakatan Rakyat menamakan lebih daripada dua calon untuk dipetimbangkan.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa parti itu hanya mempersembahkan nama Dr Wan Azizah sebagai calon pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Majlis Pimpinan Pusat PKR yang baharu dipilih telah bermesyuarat pada 2 September (Selasa) untuk membincangkan pendirian kepemimpinan baharu mengenai isu menteri besar Selangor.
Sebelum ini mStar online melaporkan bahawa PKR sudah menghantar surat jawapan kepada pihak istana pada Isnin lalu berhubung cadangan nama menteri besar.
Sementara itu Saifuddin berkata, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut mengulangi sokongannya terhadap Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal jawatan berkenaan.
Pada 26 Ogos lalu, Sultan Sharafuddin menangguhkan peletakan jawatan Khalid sebagai menteri besar Selangor.
Baginda menitahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon menteri besar untuk dipertimbangkan sebelum dilantik ke jawatan itu selewat-lewatnya pada 3 September (hari ini, Rabu).
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengesahkan PAS tetap berpegang dengan keputusan Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos lalu untuk mencalonkan Azmin sebagai calon kedua jawatan menteri besar.
Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua juga mengesahkan hanya nama Dr Wan Azizah dimasukkan dalam surat jawapan kepada istana yang dihantar pada Selasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan